SHAH ALAM, 27 APRIL: Dewan Diraja Selangor membuat laporan polis berhubung hantaran media sosial yang menghina institusi diraja di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam, hari ini.
Ahli Dewan Diraja Selangor Dato' Setia Salehuddin Saidin berkata, tindakan itu diambil atas tanggungjawab mempertahankan kedaulatan dan kedudukan institusi raja di negeri ini.
“Ini bukan sahaja menghina Tuanku secara individu tetapi turut mencemar institusi raja yang perlu dipelihara oleh seluruh rakyat,” katanya kepada media selepas selesai laporan dibuat.

Beliau berkata hantaran tersebut memaparkan imej menjijikkan yang menyerupai Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor dan disifatkan sebagai penghinaan serius.
Isu itu timbul susulan reaksi terhadap pandangan Tuanku berhubung cadangan tidak meneruskan penternakan babi di Selangor atas faktor pencemaran alam sekitar.
Dewan Diraja juga menuntut tindakan tegas termasuk siasatan segera oleh polis serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi mengenal pasti serta mendakwa individu terlibat di bawah undang-undang termasuk Akta Hasutan.
Beliau hadir bersama Ahli Dewan Diraja lain, Tan Sri Dato' Setia Zawawi Salleh, Dato' Setia Khusrin Munawi, Dato' Setia Haris Kasim dan Dato Setia Tamyes Abdul Wahid bagi membuat laporan berkenaan.
Dalam masa sama, semua pihak khususnya pemimpin politik diingatkan tidak mempolitikkan isu berkenaan atau memprovokasi masyarakat.
Kedudukan raja dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan serta Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959 selain selari dengan prinsip Rukun Negara.
Salehuddin berkata Dewan Diraja bertindak tanpa perlu arahan Tuanku kerana menjadi tanggungjawab mereka untuk mempertahankan institusi raja.









