SHAH ALAM, 27 APRIL: Seorang lelaki warga emas maut selepas kenderaan dipandunya terbabit dalam kemalangan di Jalan Bukit Kerayong, Pandamaran, di sini malam tadi.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan ACP Lim Jit Huey berkata kejadian kira-kira 8.30 malam itu melibatkan sebuah Toyota Avanza dipandu lelaki tempatan berusia lingkungan 60-an.
“Siasatan awal mendapati mangsa dipercayai gagal mengawal kenderaan sebelum melanggar struktur batu di bucu sebuah rumah di tepi jalan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Akibat pelanggaran itu, kenderaan mangsa terbalik secara mengiring di bahu longkang. Tindakan orang awam yang cuba mengalihkan kenderaan menyebabkan ia terjatuh ke dalam longkang bersama mangsa.
Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan turut diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut (SDR).
Polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Ahmad Syahid di talian 011-35753557 atau balai polis berhampiran.
Dalam pada itu, polis mengingatkan pengguna jalan raya agar sentiasa berhati-hati dan mematuhi peraturan bagi mengelak kejadian seumpama ini berulang.








