SHAH ALAM, 27 APRIL: Sebanyak 100 kampung tradisi di seluruh Selangor masih belum menerima perkhidmatan pungutan sisa pepejal lebih sistematik, kata EXCO kemajuan desa.
Datuk Rizam Ismail berkata kampung terbabit masih belum menerima perkhidmatan itu berikutan kekangan akses jalan serta bantahan penduduk.
"Bagi kutipan sampah, KDEB Waste Management sebagai pihak pelaksana dan setakat ini berbaki 100 lagi kampung belum berada dalam liputan perkhidmatan kutipan sisa pepejal.
"Selain peruntukan RM10 juta bagi membina sistem pungutan sisa pepejal yang lebih berkesan, Kerajaan Negeri telah mengarahkan pihak berkuasa tempatan (PBT) memastikan semua kawasan di kampung menerima perkhidmatan ini.
"Kerajaan Negeri juga telah menetapkan peningkatan kutipan sisa pepejal di kawasan kampung sekurang-kurangnya 90 peratus. Malah, kita menyasarkan 30 peratus insiden pembuangan sampah haram di lokasi hotspot dikurangkan dalam tempoh enam bulan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan Usul Menyembah Ucapan Terima Kasih serta Menjunjung Kasih Ke Atas Titah Ucapan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor pada persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS), hari ini.
Januari lalu, pada Majlis Amanat Tahun Baharu 2026, Dato' Menteri Besar mengumumkan dana khas sebanyak RM10 juta diperuntukkan bagi pembersihan kawasan kampung.
Dato' Seri Amirudin Shari berkata, kerja-kerja pembersihan oleh PBT bakal menumpukan kawasan hotspot yang paling banyak mendapat aduan paling banyak termasuk kawasan pelupusan sampah haram.








