Karnival Hari Pekerja 2026 tawar 4,000 peluang kerja

27 Apr 2026, 7:56 AM
Karnival Hari Pekerja 2026 tawar 4,000 peluang kerja
Karnival Hari Pekerja 2026 tawar 4,000 peluang kerja
Karnival Hari Pekerja 2026 tawar 4,000 peluang kerja

PUTRAJAYA, 27 APRIL: Penganjuran Sambutan dan Karnival Hari Pekerja 2026 bermula 1 hingga 3 Mei ini di Unifi Arena, Bukit Jalil, adalah sebagai platform menghargai sumbangan tenaga kerja negara serta memperkukuh ekosistem kerjaya melalui peluang pekerjaan, pembangunan kemahiran dan pelbagai perkhidmatan kepada rakyat.

Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) memaklumkan sambutan yang bertemakan "Pekerja MADANI Kesuma Bangsa" itu akan dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan dijangka menghimpunkan lebih 15,000 tenaga kerja daripada pelbagai sektor termasuk kesatuan sekerja, badan berkanun serta sektor awam dan swasta.

"Kemuncak perhimpunan ini akan menampilkan amanat khas Perdana Menteri serta penyampaian Anugerah Hari Pekerja 2026 sebagai pengiktirafan kepada sumbangan pekerja dalam pembangunan negara," menurut KESUMA dalam kenyataan hari ini.

Menurut kenyataan itu, 14 kategori anugerah akan disampaikan merangkumi tokoh pekerja, majikan, kesatuan sekerja, media dan kontinjen terbaik, dengan setiap penerima membawa pulang wang tunai RM10,000 berserta plak penghargaan, menjadikan jumlah keseluruhan ganjaran RM140,000.

Menurut KESUMA penganjuran sambutan itu bukan sahaja menjadi simbol penghargaan kepada warga pekerja, malah mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memartabatkan tenaga kerja sebagai tunjang kemajuan negara selaras dengan aspirasi Malaysia.

KESUMA memaklumkan sepanjang tiga hari penganjuran, Karnival Hari Pekerja 2026 dijangka menarik kehadiran kira-kira 30,000 pengunjung dan memberi fokus kepada keperluan rakyat merentasi keseluruhan ekosistem kerjaya termasuk permulaan kerjaya, pekerja sedia ada, kemajuan kerjaya melalui peningkatan kemahiran, serta kesejahteraan rakyat melalui akses kepada pelbagai perkhidmatan sokongan.

Menurut kenyataan itu, pendekatan itu mencerminkan usaha KESUMA dalam memastikan setiap individu disokong secara berterusan di setiap peringkat daripada memasuki dunia pekerjaan, berkembang dalam kerjaya, hingga menikmati kesejahteraan hidup yang lebih baik.

KESUMA memaklumkan antara tarikan utama ialah Karnival Kerjaya anjuran Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) yang menawarkan 4,000 kekosongan jawatan melalui platform MYFutureJobs dengan julat gaji antara RM2,500 hingga RM16,000, selain menyediakan sesi temuduga terus bersama majikan serta khidmat bimbingan kerjaya kepada pencari kerja.

"Dalam masa sama, ia turut memberi penekanan kepada pembangunan kemahiran dan peningkatan keupayaan tenaga kerja melalui pendedahan kepada program latihan, peluang peningkatan kemahiran (upskilling) dan kemahiran semula (reskilling) serta perkembangan teknologi industri bagi memastikan pekerja kekal relevan dan berdaya saing dalam landskap ekonomi yang semakin dinamik," menurut kenyataan itu.

Selain peluang pekerjaan dan latihan, KESUMA memaklumkan karnival tersebut akan menampilkan penyertaan lebih 50 pempamer daripada pelbagai kementerian, jabatan, agensi kerajaan dan industri yang menyediakan perkhidmatan terus kepada rakyat dalam satu lokasi bersepadu.

Antara perkhidmatan yang disediakan Jualan Rahmah, Jualan Agro MADANI, pemeriksaan kesihatan, derma darah, kaunter Jabatan Pendaftaran Negara serta pameran teknologi industri, di samping pelbagai khidmat nasihat berkaitan perburuhan, keselamatan dan kesihatan pekerjaan serta peluang latihan teknikal dan vokasional (TVET).

Sambutan dan Karnival Hari Pekerja 2026 dari 1 hingga 3 Mei 2026 diadakan di Unifi Arena, Bukit Jalil. Foto Facebook Kementerian Sumber Manusia

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.