Bantuan bencana kebakaran tanpa kira status asnaf dalam pertimbangan negeri

27 Apr 2026, 7:06 AM
Bantuan bencana kebakaran tanpa kira status asnaf dalam pertimbangan negeri

SHAH ALAM, 27 APRIL: Kerajaan Negeri sedang mempertimbang cadangan pemberian bantuan kecemasan kepada mangsa kebakaran secara menyeluruh tanpa mengira status asnaf.

EXCO Pengurusan Bencana Mohd Najwan Halimi berkata perkara itu akan dibincangkan bersama Unit Pengurusan Bencana Negeri dan Lembaga Zakat Selangor (Zakat Selangor).

Menurutnya, pendekatan tersebut dilihat wajar memandangkan keperluan mendesak mangsa yang terjejas akibat bencana.

"Kerajaan Negeri menggunapakai peraturan sedia ada tetapi apabila ada cadangan berhubung bantuan kecemasan secara menyeluruh tanpa mengira status, kita melihat ia sesuai dibincang.

"Kita akan bincang dengan Zakat Selangor bagi selaraskan bantuan bencana untuk tindakan seterusnya. Begitu juga menguruskan bantuan melibatkan pejabat wakil rakyat pembangkang, kita bincang dan bawa ke Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri," katanya.

Beliau menjawab soalan tambahan Ahli Dewan Negeri Bukit Melawati Dato' Noorazley Yahya berhubung bantuan bencana kebakaran bagi pemilik bukan berdaftar asnaf pada persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS), hari ini.

Terdahulu, Mohd Najwan memaklumkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Selangor turut memainkan peranan penting dengan menyalurkan bantuan barangan keperluan asas kepada mangsa termasuk toto, selimut, makanan kering, 'retort food' dan keperluan lain bagi meringankan beban.

Katanya, bantuan itu bukan sahaja membantu memenuhi keperluan harian mangsa, malah memberikan sedikit kelegaan dalam menghadapi situasi mencabar.

"Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) turut tampil menghulurkan bantuan tambahan berupa sumbangan kewangan sebanyak RM300 kepada mangsa yang beragama Islam.

"Sumbangan ini dapat membantu mangsa menampung keperluan segera serta mempercepatkan proses pemulihan selepas berdepan dengan musibah yang menimpa," katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.