Hantaran hina Sultan Selangor, MB jumpa menteri petang ini

27 Apr 2026, 6:37 AM
Hantaran hina Sultan Selangor, MB jumpa menteri petang ini

SHAH ALAM, 27 APRIL: Dato’ Menteri Besar akan bertemu Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil petang ini susulan hantaran tular di media sosial yang didakwa menghina Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor.

Setiausaha Politik kepada Dato’ Menteri Besar, Saifuddin Shafi Muhammad berkata pihaknya turut membuat laporan polis dan mendesak siasatan mengikut Seksyen 505B dan 505C Kanun Keseksaan dijalankan.

“Ini kerana hantaran pihak tidak bertanggungjawab ini berunsur hasutan kebencian, penghinaan terhadap institusi diraja selain berpotensi mencetuskan ketegangan kaum dan agama.

“Insya-Allah petang ini Dato’ Seri Amirudin Shari bertemu Menteri Komunikasi kerana ia melibatkan Sultan Selangor dan kita ambil tanggungjawab ini. Kita minta kerajaan segera banteras perkara seperti ini.

“Kita bukan hanya fokus kepada isu (hantaran) ini sahaja, tetapi pertemuan ini turut bincangkan elakkan dari mana-mana pihak sewenang-wenangnya menabur fitnah pada masa akan datang,” katanya selepas membuat laporan di Balai Polis Seksyen 6, hari ini.

Saifuddin mendesak polis serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) menjalankan siasatan segera dan tindakan tegas bagi mengelakkan berlakunya ketegangan kaum, agama dan penghinaan terhadap institusi diraja terus berleluasa.

“Tentunya rakyat Selangor terutama pentadbir negeri mahu SKMM dan polis ambil tindakan segera. Ini perkara yang kerap berlaku. Mungkin pelaksanaan perlu lebih tangkas dan segera.

“Apa pun kita hormati tugas polis dan SKMM. Namun apabila melibatkan institusi diraja, tindakan segera perlulah diambil kerana berisiko menimbulkan ketegangan kaum,” katanya.

Kelmarin, tular di media sosial satu hantaran yang menyunting imej khinzir memakai pakaian adat istana dan mengaitkannya dengan Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.

Berikutan itu, EXCO Pelaburan Ng Sze Han mengecam hantaran berkenaan dan menyeru polis mengambil tindakan tegas agar pihak terbabit dikenakan hukuman berat selaras dengan peruntukan undang-undang.

Kecaman turut dibuat beberapa lagi ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri iaitu EXCO Perumahan Datuk Borha Aman Shah; EXCO Agama Islam Dr Mohammad Fahmi Ngah; EXCO Perpaduan Dato’ Rizam Ismail; EXCO Sukan Najwan Halimi dan EXCO Sumber Manusia V Papparaidu.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.