SHAH ALAM, 27 APRIL: Selangor menyasarkan pemasangan 4,000 unit Pengecas Kenderaan Elektrik (EVCB) menjelang 2030 bagi memperkukuh pembangunan ekosistem mobiliti mampan di negeri ini.
EXCO Mobiliti Ng Sze Han berkata ketika ini terdapat 1,090 unit stesen pengecasan kenderaan elektrik (EV) beroperasi di seluruh Selangor melibatkan 12 pihak berkuasa tempatan (PBT).
Menurut beliau, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) merekodkan jumlah tertinggi dengan 226 unit, diikuti Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) 221 unit dan Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) dengan 183 unit.
Selain itu, Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) mempunyai 145 unit manakala Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) mencatatkan 68 unit EVCB.
Ng turut memaklumkan Majlis Perbandaran Selayang menyediakan 53 unit, Majlis Perbandaran Ampang Jaya 49 unit dan Majlis Perbandaran Kuala Langat, 47 unit.
Sementara itu, Majlis Perbandaran Kuala Selangor serta Majlis Bandaraya Diraja Klang masing-masing memiliki 43 unit, diikuti Majlis Perbandaran Hulu Selangor sebanyak 12 unit dan satu unit di Majlis Daerah Sabak Bernam.
“Bagi merancakkan industri EV, Kerajaan Negeri melalui PBT telah mengambil inisiatif untuk menjadikan pemasangan rangkaian infrastruktur pengecas EV sebagai salah satu syarat bagi pembangunan baharu semasa permohonan Kebenaran Merancang.
“Ini adalah selaras dengan Garis Panduan Perancangan Petak EVCB yang disediakan oleh pihak PLANMalaysia.

“Dalam masa sama, PBT juga sedang dalam proses mengenal pasti lokasi sesuai di bawah seliaan PBT untuk cadangan pemasangan pengecas EV kelak,” katanya dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) hari ini.
Beliau menjawab soalan wakil rakyat Kuala Kubu Bharu Pang Sock Tao mengenai perancangan Kerajaan Negeri untuk menggalakkan penambahan kemudahan EVCB di seluruh Selangor.
Menurutnya, Kerajaan Negeri melalui Jawatankuasa Tetap Mobiliti Negeri Selangor juga bersetuju untuk melantik
Worldwide Holdings Berhad (WHB) sebagai agensi penyelaras kepada Charging Point Operator (CPO) bagi pelaksanaan program infrastruktur pengecasan kenderaan elektrik (EV) di Selangor.
Selain itu, katanya perkhidmatan bas Smart Selangor disasar dipacu menggunakan tenaga hidrogen seawal hujung tahun ini, tertakluk kepada kesiapsiagaan ekosistem melibatkan kemudahan electrolyser dan stesen pengisian hidrogen yang disasar siap tahun ini.
“Sekiranya ekosistem eletrolyser dan stesen pengisian hidrogen ini siap tahun ini kita boleh lihat pelaksanaan bas hidrogen Selangor menjelang hujung 2026.
“Ini penghasilan hidrogen ini melibatkan kos tinggi kita perlu merancang inisiatif atau projek ini dengan hati-hati supaya ia dapat dilaksanakan dengan lancar selepas kita mempunyai electrolyser dan stesen pengisian,” katanya.
Electrolyser adalah sistem yang digunakan untuk menghasilkan hidrogen dengan cara memecahkan molekul air kepada hidrogen dan oksigen menggunakan tenaga elektrik.









