Isu hina Sultan: MBS gesa pertubuhan belia Selangor buat laporan polis

27 Apr 2026, 1:30 AM
Isu hina Sultan: MBS gesa pertubuhan belia Selangor buat laporan polis

SHAH ALAM, 27 APRIL: Semua pertubuhan belia di Selangor digesa tampil membuat laporan polis susulan tular hantaran di media sosial yang menghina Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor.

Presiden Majlis Belia Selangor (MBS), Dato’ Imran Tamrin berkata tindakan kolektif itu penting sebagai isyarat tegas bahawa golongan belia tidak akan berdiam diri apabila kedaulatan dan kehormatan institusi diraja dicabar.

“MBS menasihatkan seluruh belia untuk terus mempamerkan kematangan dan kebijaksanaan dalam menggunakan media sosial. Jangan mudah terpengaruh atau memanjangkan kandungan yang tidak sahih dan berniat jahat.

“MBS akan terus berdiri teguh mempertahankan kemuliaan institusi Diraja Selangor sebagai teras perpaduan. Semoga Allah SWT sentiasa merahmati dan memelihara kesejahteraan Selangor bawah naungan Baginda Tuanku,” katanya dalam kenyataan.

Pada masa sama, MBS turut mendesak pihak polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia menyiasat segera serta mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak terlibat.

“Tindakan ini (hantaran penghinaan) bukan sahaja melanggar prinsip Rukun Negara, malah merupakan ancaman jelas untuk menggugat keharmonian, kestabilan sosial dan perpaduan rakyat majmuk negeri ini.

“Institusi Diraja adalah payung kedaulatan negeri dan lambang kesatuan yang wajib dipertahankan oleh setiap lapisan masyarakat, khususnya oleh generasi muda,” katanya.

Kelmarin, tular di media sosial satu hantaran yang menyunting imej tidak wajar dan mengaitkannya dengan Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.