Pelantikan ikut perlembagaan, latar belakang kehakiman perkukuh kepimpinan SPRM

27 Apr 2026, 4:00 AM
Pelantikan ikut perlembagaan, latar belakang kehakiman perkukuh kepimpinan SPRM

SHAH ALAM, 27 APRIL: Pelantikan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang baharu disifatkan sebagai langkah tepat dan selari dengan peruntukan perlembagaan, sekali gus menepis tanggapan ia dibuat secara tergesa-gesa.

Penganalisis politik, Prof Madya Dr Mazlan Ali berkata pelantikan itu melalui proses sewajarnya termasuk perkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, selain mengambil kira keperluan institusi berkenaan.

Pengarah Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Teknologi Malaysia Prof Madya Dr Mazlan Ali

“Latar belakang Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu, Datuk Seri Abdul Halim Aman dalam bidang kehakiman menjadi nilai tambah penting dalam menggalas tanggungjawab memerangi rasuah.

“Tugas SPRM melibatkan siasatan dan penguatkuasaan undang-undang, justeru individu yang mempunyai pengetahuan mendalam mengenai undang-undang dan perlembagaan amat diperlukan,” katanya ketika dihubungi Media Selangor.

Dr Mazlan menambah, pengalaman serta integriti dan ketelusan dimiliki Abdul Halim yang juga bekas Hakim Mahkamah Tinggi, mampu diterjemahkan dalam memperkukuh peranan SPRM sebagai badan bebas dan berwibawa.

Pada masa sama, beliau turut mengakui cabaran utama yang bakal dihadapi adalah persepsi masyarakat terhadap SPRM yang masih menjadi perhatian, selain keperluan untuk menjernihkan keadaan melalui pelaksanaan tugas yang telus dan berkesan.

Dalam pada itu, beliau juga berharap kepimpinan baharu itu dapat meningkatkan keyakinan rakyat serta mengangkat semula reputasi SPRM sebagai institusi yang dihormati dalam usaha membanteras rasuah.

Datuk Seri Abdul Halim Aman dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM baharu berkuat kuasa 13 Mei 2026.

Pada 25 April lalu, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar memaklumkan Abdul Halim dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu, berkuat kuasa 13 Mei ini.

Menurutnya, pelantikan itu mendapat perkenan Sultan Ibrahim selaras Subseksyen 5(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694), bagi menggantikan Tan Sri Azam Baki yang tamat tempoh perkhidmatan pada 12 Mei.

Untuk rekod, Azam telah tiga kali dilantik semula bagi memegang jawatan berkenaan, masing-masing selama setahun iaitu dari 12 Mei 2023 hingga 11 Mei 2024, 12 Mei 2024 hingga 12 Mei 2025, serta 13 Mei 2025 hingga 12 Mei tahun ini.

Beliau mula memegang jawatan Ketua Pesuruhjaya SPRM pada 9 Mac 2020 bagi menggantikan Latheefa Beebi Koya yang memendekkan kontrak perkhidmatannya selaras dengan Subseksyen 5(3) Akta SPRM 2009.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.