PWS salur RM50,000 naik taraf musolla SK Seksyen 27(1) Shah Alam

26 Apr 2026, 5:27 AM
PWS salur RM50,000 naik taraf musolla SK Seksyen 27(1) Shah Alam

SHAH ALAM, 26 APRIL: Perbadanan Wakaf Selangor (PWS) menyalurkan sumbangan wakaf fisabilillah berjumlah RM50,000 bagi menaik taraf musolla di Sekolah Kebangsaan (SK) Seksyen 27 (1), Shah Alam, semalam.

PWS memaklumkan inisiatif itu mencerminkan komitmen berterusan dalam memperluas ekosistem wakaf yang inklusif serta berimpak tinggi, di samping menyokong pembangunan pendidikan secara mampan.

“Sumbangan tersebut disampaikan dalam satu program yang turut diisi dengan taklimat wakaf oleh Pegawai Unit Kutipan dan Agihan PWS, Muhammad Suffian Assauri Omar.

“Dalam masa sama, kaunter wakaf dibuka bagi menggalakkan penglibatan langsung komuniti khususnya warga pendidik untuk melazimi amalan wakaf secara lebih mudah dan tersusun,” katanya menerusi Facebook.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Wakaf Selangor Anuar Hamzah Tohar menyampaiakan Taklimat Wakaf Selangor kepada warga pendidik di Sekolah Menengah Kebangsaan Serendah pada 25 April 2026. Foto Facebook Perbadanan Wakaf Selangor (PWS) MAIS

Dalam perkembangan sama, PWS turut mempergiat usaha meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai wakaf melalui penganjuran taklimat di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Serendah yang disampaikan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Anuar Hamzah Tohar.

“Taklimat itu bertujuan membuka ruang kepada warga pendidik untuk memahami peranan wakaf dengan lebih mendalam, sekali gus mendorong penyertaan aktif dalam kalangan komuniti sekolah.

“Program ini selari dengan aspirasi PWS untuk memperluas jangkauan kesedaran wakaf serta mengoptimumkan potensi sumbangan ke arah pembangunan pendidikan dan kebajikan ummah secara mampan,” ujarnya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.