IPOH, 25 APRIL: Seorang lelaki ditemukan meninggal dunia di dalam sebuah kenderaan di Jalan Taman Ng Wan Hup, Taman Pertama, di sini petang tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Sabarodzi Nor Ahmad berkata pihaknya menerima panggilan pada 6.25 petang sebelum sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Ipoh bergegas ke lokasi kejadian sejauh 10 kilometer.
"Mangsa berusia 54 tahun itu ditemukan tidak sedarkan diri di dalam kereta yang berkunci. Setelah pintu berjaya dibuka, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan," katanya dalam kenyataan, malam ini.
Beliau berkata mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya, dan operasi tamat pada 7.10 malam.
-- BERNAMA








