Rumah Rehat Sabak Bernam jadi Hay Resort, tampil konsep warisan Melayu dan moden

25 Apr 2026, 11:20 AM
Rumah Rehat Sabak Bernam jadi Hay Resort, tampil konsep warisan Melayu dan moden

SABAK BERNAM, 25 APRIL: Rumah Rehat Sabak Bernam (RRSB) kini melalui proses transformasi menjadi Hay Resort, sebuah penjenamaan semula yang menggabungkan elemen warisan Melayu Selangor dengan reka bentuk moden.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pembangunan semula itu melibatkan naik taraf menyeluruh merangkumi struktur, seni bina serta reka bentuk dalaman bagi mewujudkan pengalaman penginapan yang lebih eksklusif dan selesa.

Menurutnya, konsep baharu tersebut turut menekankan keseimbangan antara estetika landskap dan persekitaran bagi menawarkan suasana rehat yang tenang dan lebih premium kepada pengunjung.

“Transformasi ini bukan sekadar menaik taraf kemudahan sedia ada, tetapi menjadikan lokasi ini sebagai ruang istirahat lengkap yang memenuhi keperluan pelbagai golongan,” katanya.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari melawat Rumah Rehat Sabak Bernam (RRSB) yang kini dalam proses transformasi menjadi Hay Resort sempena program jelajah Dato' Menteri Besar di Sabak Bernam pada 25 April 2026. Foto Facebook Amirudin Shari

Beliau berkata antara kemudahan yang disediakan termasuk ruang tamu, ruang makan, bilik VIP serta ruang santai yang direka bagi meningkatkan keselesaan dan pengalaman pengunjung.

Dalam masa sama, Hay Resort dijangka menjadi produk pelancongan baharu yang memperkukuh daya tarikan Sabak Bernam sebagai destinasi berasaskan warisan dan alam semula jadi.

Usaha ini turut selari dengan komitmen Kerajaan Negeri dalam memperkasa produk pelancongan tempatan yang beridentiti serta berdaya saing di peringkat lebih luas.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.