Aidiladha: Bekalan lembu, kambing korban dijamin cukup - EXCO

25 Apr 2026, 10:30 AM
Aidiladha: Bekalan lembu, kambing korban dijamin cukup  - EXCO

SHAH ALAM, 25 APRIL: Bekalan lembu dan kambing bagi ibadah korban di Selangor dijamin mencukupi meskipun rantaian bekalan global terkesan susulan konflik di Asia Barat.

EXCO Pertanian, Dato’ Ir Izham Hashim berkata setakat ini kesan krisis lebih tertumpu kepada kos pengangkutan serta makanan haiwan, namun keadaan masih terkawal dan tidak menjejaskan bekalan semasa.

EXCO Pertanian Dato' Ir Izham Hashim berucap pada majlis perasmian rogram Sumbangan Korban Negeri Selangor (PSKNS) di Shah Alam pada 25 April 2026. Foto IJLAH MUNIRAH HASBUNALLAH/MEDIA SELANGOR.

“Kita jangkakan krisis ini akan mula ketara dalam beberapa bulan lagi. Sekarang bekalan tak terjejas malah penternak berlumba-lumba sediakan bekalan kerana harga ditawarkan menarik.

“Bekalan bukan sahaja melibatkan lembu tempatan tetapi ada juga diimport dari Thailand, namun semuanya melalui proses sepatutnya seperti jalani tempoh kuarantin,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Sumbangan Korban Negeri Selangor (PSKNS) di sini, hari ini.

EXCO Pertanian Dato' Ir Izham Hashim menyerahkan baucar sumbangan korban kepada penerima dalam satu majlis di Shah Alam pada 25 April 2026. Foto IJLAH MUNIRAH HASBUNALLAH/MEDIA SELANGOR 

Menurutnya, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM6 juta bagi pelaksanaan program tahun ini melalui kerjasama tanggungjawab sosial korporat (CSR) melibatkan syarikat korporat dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Sumbangan daripada 10 anak syarikat termasuk Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor serta Permodalan Negeri Selangor Berhad membabitkan 800 ekor lembu dan 600 ekor kambing untuk diagihkan kepada masjid, surau serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

EXCO Pertanian Dato' Ir Izham Hashim bergambar bersama penerima baucar sumbangan korban kepada penerima dalam satu majlis di Shah Alam pada 25 April 2026. Foto IJLAH MUNIRAH HASBUNALLAH/MEDIA SELANGOR

Dalam pada itu, Izham mengingatkan pembekal supaya memastikan haiwan korban memenuhi kriteria ditetapkan termasuk berkualiti dan bebas penyakit.

Beliau berkata tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang gagal mematuhi syarat termasuk disenarai hitam selama dua tahun.

“Pihak yang terima sumbangan korban perlu memilih individu layak sebagai penama ibadah termasuk golongan berpendapatan rendah.

“Korban merupakan satu ibadah, justeru perlu diurus dengan sebaik mungkin bagi mendapatkan keberkatan dan memanfaatkan ramai pihak. Kenal pasti penama yang layak,” katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.