SABAK BERNAM, 25 APRIL: Seramai 25 jemaah haji Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Air Tawar menerima Insentif Haji Muassasah RM1,500 bagi meringankan persiapan ke Tanah Suci.
Sumbangan tersebut disampaikan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari dalam Majlis Penyerahan Sumbangan Haji Muassasah yang diadakan di Masjid Ubudiah, Sungai Air Tawar, hari ini.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Selangor Dato’ Ts. Saipolyazan M. Yusop berkata inisiatif itu mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri bersama MBI dalam membantu rakyat menunaikan ibadah.
“Sumbangan ini diharap dapat meringankan beban kewangan jemaah selain memudahkan urusan sebelum berangkat.
“Semoga semua jemaah dipermudahkan urusan menunaikan ibadah haji serta dikurniakan haji mabrur,” katanya.
Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar memaklumkan seramai 6,000 bakal jemaah haji muassasah di Selangor menerima insentif RM1,500 seorang menerusi pelaksanaan program Insentif Haji Muassasah 1447H/2026M.
Menurut Amirudin, dengan peruntukan RM9 juta, jumlah insentif meningkat sebanyak RM500 iaitu dari RM1,000 kepada RM1,500 bagi setiap jemaah haji muassasah.
Untuk rekod, sejak mula dilaksanakan pada 2022, insentif tersebut memanfaatkan seramai 18,000 jemaah haji muassasah dari Selangor, iaitu 3,000 jemaah masing-masing pada 2022 dan 2023 dan 6,000 jemaah masing-masing pada 2024 dan 2025.











