SUKMA 2026: Pulau Pinang serah keputusan kepada Selangor selaku tuan rumah

25 Apr 2026, 8:43 AM
SUKMA 2026: Pulau Pinang serah keputusan kepada Selangor selaku tuan rumah

SHAH ALAM, 25 APRIL: Kerajaan Pulau Pinang menyerahkan sepenuhnya kepada Selangor selaku tuan rumah Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 untuk menentukan keputusan penganjuran temasya berkenaan, dengan mengambil kira perkembangan semasa serta pandangan pihak berkaitan.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata sebarang keputusan sama ada untuk meneruskan atau sebaliknya adalah tertakluk kepada pihak penganjur bersama Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow. Foto BERNAMA

“Selangor selaku penganjur SUKMA, maka terpulang kepada penganjur bersama KBS untuk membuat sebarang keputusan. Sekiranya penganjur memutuskan untuk diadakan, ia masih tertakluk kepada pertimbangan mereka,” katanya memetik portal Buletin Mutiara.

Beliau berkata demikian ketika mengulas perkembangan penganjuran SUKMA 2026 yang dijadual berlangsung dari 15 hingga 24 Ogos ini.

Menurutnya, pihaknya akan terus mengikuti perkembangan semasa memandangkan para atlet kini berada pada fasa persiapan akhir menjelang temasya berkenaan.

“Saya percaya para atlet telah melakukan persiapan terakhir, jadi kita akan terus memantau perkembangan (dengan sebarang keputusan yang dibuat kelak),” jelasnya.

Sebelum ini, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj mencadangkan penganjuran SUKMA 2026 ditangguhkan sehingga krisis di Asia Barat reda dan pembinaan Stadium Shah Alam siap sepenuhnya.

Baginda bertitah cadangan itu dibuat memandangkan kos penganjuran temasya berkenaan adalah tinggi dalam keadaan ekonomi semasa.

Susulan itu, beberapa negeri termasuk Sarawak berharap SUKMA diteruskan dengan mengambil kira persiapan atlet yang telah dibuat lebih awal termasuk latihan di luar negara serta kos penginapan, logistik dan persiapan latihan.

Terengganu, Kelantan dan Sabah turut menyatakan harapan agar kejohanan tersebut diteruskan walaupun dalam skala lebih kecil selepas mengambil kira persiapan hampir dua tahun sejak SUKMA 2024 di Sarawak.

Sebelum ini, Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari memaklumkan keputusan mengenai penganjuran SUKMA Selangor 2026 dijangka diputuskan selepas mesyuarat jawatankuasa khas pada 30 April ini.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.