PLKN 3.0: Lebih 1,300 pelatih dijangka lapor diri, tiga kem capai kapasiti penuh

25 Apr 2026, 7:54 AM
PLKN 3.0: Lebih 1,300 pelatih dijangka lapor diri, tiga kem capai kapasiti penuh

KUALA LUMPUR, 25 APRIL: Sebanyak 1,350 pelatih dijangka hadir bagi Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 Siri 2/2026, dengan tiga kem latihan bakal mencapai kapasiti penuh hari ini.

Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) Mejar Jeneral Datuk Marzuki Mokhtar berkata proses lapor diri pelatih hari ini, berjalan dengan lancar dan teratur.

“Berdasarkan rekod penawaran melalui sistem ePLKN, sebanyak 1,350 pelatih telah mengesahkan kehadiran bagi siri kali ini.

“Daripada jumlah tersebut, Kem Cawangan Latihan Khidmat Negara (CLKN) 505 (AW), Pekan, Pahang menempatkan 500 pelatih; Kem CLKN 515 (AW), Kuala Lumpur sebanyak 250 pelatih; manakala Kem CLKN Malbatt Village, Port Dickson menempatkan 600 pelatih,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata penambahan kem baharu di Malbatt Village membolehkan JLKN meningkatkan kapasiti pengambilan pelatih, sekali gus membuka peluang kepada lebih ramai belia negara untuk menyertai PLKN 3.0 secara berperingkat pada tahun ini.

“Kapasiti penuh ini mencerminkan komitmen bersama dalam membina generasi muda yang patriotik, berintegriti dan bersedia menyumbang kepada pembangunan negara.

“Ia menunjukkan bahawa PLKN 3.0 terus mendapat sambutan dan kepercayaan tinggi daripada golongan muda serta ibu bapa dan mencerminkan keyakinan masyarakat terhadap usaha kerajaan membentuk generasi belia berdisiplin dan berdaya tahan,” katanya.

Marzuki berkata walaupun Malbatt Village ini berfungsi sebagai kem sementara bagi penempatan pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 bagi Siri 2/2026, JLKN memberi jaminan kepada ibu bapa bahawa aspek keselesaan dan keselamatan pelatih sentiasa menjadi keutamaan.

“Seiring dengan itu, JLKN telah melaksanakan pelbagai langkah penambahbaikan fasiliti sejak peringkat awal, termasuk pemasangan Sistem Keselamatan Litar Tertutup (CCTV) di setiap blok penginapan serta kemudahan sokongan lain.

“Inisiatif ini bertujuan memastikan persekitaran latihan yang selamat, teratur dan kondusif, sekali gus menyokong keberkesanan pelaksanaan latihan sepanjang tempoh program berlangsung,” katanya.

Beliau berkata fasiliti ini pada asalnya dibangunkan sebagai Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT), kemudiannya telah diubah suai secara komprehensif bagi menyokong keperluan latihan khusus.

“Ini sekali gus berfungsi sebagai pusat penempatan anggota yang menjalani Force Integration Training (FIT) sebelum diatur gerak ke Lubnan, untuk menyertai misi pengaman di bawah United Nations Interim Force in Lebanon (UNIFIL).

“Pelatih PLKN 3.0 yang ditempatkan di sini seharusnya berasa bangga, kerana fasiliti ini merupakan penempatan wira-wira negara yang berkhidmat di bawah panji-panji Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Diharapkan mereka akan terus bersemangat sepanjang menjalani latihan selama 45 hari, dengan membawa aspirasi dan semangat sebenar wira negara,” katanya.

Kem Malbatt Village yang terletak di Batu 5, Port Dickson berkeluasan 2,980 meter persegi, merupakan kemudahan strategik milik Markas Angkatan Bersama (MK AB) yang telah dirasmikan pada 10 Dis 2016 oleh mantan Panglima Angkatan Tentera ke-18 Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin.

Bagi siri latihan akan datang, JLKN mengingatkan bakal pelatih khususnya kelahiran tahun 2008 supaya sentiasa peka terhadap pengumuman di saluran rasmi jabatan berkenaan, manakala maklumat lanjut boleh diperoleh di https://jlkn.mod.gov.my.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.