SHAH ALAM, 25 APRIL: Majlis Amanah Rakyat (MARA) mengesahkan pelaku kes buli yang dikaitkan dengan foto tular memaparkan pakaian seragam pelajar digunting di sebuah Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) telah dikenal pasti.
Pengerusinya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata siasatan berhubung kejadian itu kini berada di peringkat akhir sebelum tindakan tegas diambil terhadap pihak terlibat.
Menurutnya, siasatan turut diperkukuh dengan maklumat daripada keluarga mangsa serta laporan rasmi pihak pengurusan MRSM.
“Kita tak akan berkompromi apa juga bentuk buli kerana dasar MARA jelas, ‘you touch, you go’... walaupun ada merayu sekalipun, tidak akan dilayan.
“Namun biarlah siasatan diselesaikan sepenuhnya sebelum sebarang maklumat lanjut didedahkan.
“Apa yang pasti, MRSM tidak ada tempat untuk pembuli dan tindakan akan diambil bergantung tahap keseriusan kes,” katanya seperti dilapor BH.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Anugerah Kecemerlangan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 di MRSM Tun Ghafar Baba di Jasin, hari ini.
Mengenai jumlah individu terlibat, Asyraf Wajdi bagaimanapun tidak mendedahkannya dan berkata ia akan diumumkan selepas siasatan selesai sepenuhnya.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata MARA akan membangunkan modul latihan khas bersama Universiti Putra Malaysia (UPM) melibatkan warden bekas tentera di MRSM bagi menangani kes buli.
Katanya, langkah itu diambil susulan trend buli yang kini bukan sahaja melibatkan fizikal, malah turut merangkumi aspek mental yang lebih sukar dikesan.
“Kita harap langkah ini dapat mengurangkan kes buli membabitkan fizikal mahupun mental,” katanya.
Selain itu, beliau berkata MARA turut memperuntukkan RM650,000 bagi menaik taraf prasarana MRSM Tun Ghafar Baba selepas institusi itu muncul sebagai sekolah terbaik SPM 2025.
Peruntukan itu bertujuan menambah baik kemudahan asas memandangkan MRSM berkenaan antara yang tertua dengan usia melebihi lima dekad.








