SHAH ALAM, 24 APRIL: Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) memberi jaminan bahawa pelaksanaan langkah penjimatan bagi 2026 tidak akan menjejaskan penganjuran program seni budaya yang telah dirancang sepanjang tahun.
Ketua Pengarahnya, Mohd Amran Mohd Haris berkata, pihaknya kekal komited memastikan semua program dapat dilaksanakan seperti dirancang walaupun dunia berdepan pelbagai cabaran semasa.
Menurutnya, situasi global termasuk krisis yang melanda Asia Tengah tidak akan menghalang usaha memperkasa sektor seni dan budaya negara.
“Penjimatan yang sewajarnya akan dilaksanakan sebaik mungin bagi memastikan aktiviti seni budaya akan terus dilaksanakan dan menyentuh aspek kemanusiaan," katanya kepada Media Selangor.
Program tersebut turut memberi fokus kepada penglibatan komuniti sebagai usaha menyemarakkan aktiviti seni budaya di peringkat akar umbi.
Tambahnya, pelaksanaan program tidak hanya tertumpu di ibu negara, sebaliknya akan diperluaskan ke seluruh negara bagi memastikan lebih ramai rakyat dapat menikmati dan terlibat secara langsung.
Kesemua program dijadualkan berlangsung dari Februari hingga Disember 2026.
Orang ramai diseru untuk hadir dan memeriahkan program yang dirancang sepanjang tahun ini sebagai tanda sokongan terhadap usaha memperkasa seni budaya negara.









