SHAH ALAM, 24 APRIL: Selangor mencatatkan kadar inflasi 1.4 peratus setakat Februari lalu dan dijangka meningkat secara sederhana, seiring dengan trend nasional.
EXCO Hal Ehwal Pengguna dan Koperasi, Datuk Rizam Ismail berkata kenaikan itu berpotensi memberi kesan kepada pengguna, terutama bagi barangan yang bergantung kepada harga import termasuk keperluan asas.
“Kerajaan Persekutuan dan negeri selari untuk melaksana dasar dan tindakan untuk membantu mengurangkan kesan tekanan kos global terhadap harga dalam negeri, termasuklah rasionalisasi subsidi petrol dan diesel baru-baru ini.
“Kerajaan Selangor mengambil langkah intervensi yang menyasarkan kepada pengurangan beban perbelanjaan isi rumah, kestabilan harga barangan dan pengukuhan bekalan makanan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Ahli Dewan Negeri (ADN) Permatang, Nurul Syazwani Noh berhubung unjuran peningkatan kadar inflasi di Selangor serta langkah menanganinya pada Sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini hari ini.
Menurutnya, antara langkah diambil termasuk pelaksanaan Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (BINGKAS) yang menyediakan bantuan e-dompet RM300 sebulan kepada kira-kira 30,000 penerima dengan peruntukan RM103 juta tahun ini.
Rizam berkata program di bawah Iltizam Selangor Penyayang (ISP) seperti Skim Mesra, bantuan pendidikan dan keusahawanan turut diteruskan bagi memperkukuh jaringan keselamatan sosial rakyat.
“Kerajaan Negeri juga memperkukuh jalinan kerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) untuk menguatkuasa pematuhan dan pemantauan bagi mengekang sebarang gangguan kepada harga dan bekalan di pasaran domestik,” katanya.
Minggu lalu, Kerajaan Negeri memperkenalkan Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor dengan peruntukan berjumlah RM131 juta bagi mendepani cabaran semasa termasuk kesan krisis tenaga global terhadap kos pengeluaran sektor agromakanan.









