Operasi KPDN Selangor kesan empat kes, ambil tindakan peniaga ingkar

24 Apr 2026, 5:04 AM
Operasi KPDN Selangor kesan empat kes, ambil tindakan peniaga ingkar

SHAH ALAM, 24 APRIL: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor mengambil tindakan terhadap empat kes pelanggaran undang-undang dalam operasi pemeriksaan bekalan dan harga barangan di sekitar Shah Alam dan Sungai Buloh, semalam.

Operasi itu melibatkan beberapa lokasi termasuk Jalan Tengku Ampuan Zabedah, Seksyen 9, Shah Alam; Jalan Kampung Kubu Gajah, Sungai Buloh serta Jalan Kota Kemuning, Shah Alam.

KPDN memaklumkan pemeriksaan dijalankan bagi memastikan pematuhan terhadap perundangan melibatkan aspek bekalan, penandaan harga serta larangan penjualan dan pembelian minyak masak paket 1 kilogram (kg) kepada warga asing.

“Sebanyak dua tindakan kes di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 serta dua tindakan kes di bawah Akta Timbang dan Sukat 1972 telah dihasilkan,” katanya dalam kenyataan.

Bagaimanapun, hasil pemeriksaan turut mendapati kebanyakan premis masih mematuhi peraturan yang ditetapkan.

“Hasil pemeriksaan mendapati kebanyakan premis mematuhi undang-undang yang ditetapkan oleh KPDN, termasuk dari segi penandaan harga dan kedudukan bekalan barangan.

"Alat timbang dan sukat yang digunakan juga berada dalam tempoh sah penentusahan, manakala tanda harga dipamerkan dengan jelas dan teratur," katanya.

Sementara itu, KPDN menegaskan pemantauan akan terus dipergiat terutama dalam situasi ketidaktentuan global ketika ini.

“Peniaga diingatkan supaya sentiasa mengamalkan etika perniagaan yang baik dan mematuhi undang-undang yang berkuat kuasa, selain tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang ingkar,” katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.