Jalan Kwasa Damansara perlu dilebarkan segera, elak sesak lebih teruk

22 Apr 2026, 4:34 AM
Jalan Kwasa Damansara perlu dilebarkan segera, elak sesak lebih teruk

SHAH ALAM, 22 APRIL: Pelebaran jalan di Kwasa Damansara perlu disegerakan bagi mengelakkan kesesakan lebih kritikal, lebih-lebih lagi ketika pembangunan kawasan itu baharu mencapai sekitar 30 peratus.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Kota Damansara, Izuan Kasim berkata laluan sedia ada kini sudah sesak setiap hari, sekali gus menunjukkan keperluan mendesak untuk menaik taraf infrastruktur sebelum kawasan itu dibangunkan sepenuhnya menjelang 2060.

“Jalan di Kwasa Land ini memang perlu dibuat sekarang kerana kita sudah melihat kesesakan yang berlaku setiap hari walaupun pembangunan belum siap sepenuhnya.

“Kalau kita tunggu lagi 20 tahun, kos akan meningkat dan keadaan akan jadi lebih teruk kerana pembangunan sudah padat,” katanya pada sidang media di Dewan Negeri Selangor, semalam.

Dalam masa sama, beliau menegaskan kebajikan pengusaha nurseri yang terlibat turut diberi perhatian dengan pemberian tempoh tambahan selama empat bulan untuk mereka merancang perpindahan.

“Hasil perbincangan bersama EXCO Pertanian dan dibawa ke MMKN, kita bersetuju memberikan tempoh tambahan supaya mereka dapat mencari tapak baharu dengan lebih teratur,” katanya.

Menurutnya, walaupun lesen pendudukan sementara (TOL) pengusaha telah tamat, mereka masih diberi kelonggaran untuk beroperasi sehingga hujung Ogos sebelum pengosongan tapak dilaksanakan.

Beliau turut memaklumkan cadangan penempatan baharu di Bukit Changgang memerlukan kos tinggi, namun berpotensi dibangunkan sebagai kawasan agrofarm atau pelancongan jika diusahakan secara bersepadu.

Terdahulu, Kerajaan Negeri memberi tempoh lanjutan sehingga akhir Ogos kepada 38 pengusaha nurseri di Jalan Sungai Buloh sebelum projek pelebaran jalan bertingkat di Kwasa Damansara bermula September ini.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.