HULU LANGAT, 26 APRIL: Pempengaruh terkenal dalam bidang masakan Chef Kecik dipilih sebagai pengucap utama Seminar Gastronomi Kebangsaan (SEGEMUK) kali ketiga yang dijadual berlangsung 6 Mei ini.
Pengerusi seminar Dr Faisal Tehrani berkata pemilihan pemilik restoran terkenal itu mencerminkan usaha menghubungkan bidang akademik dan industri makanan dalam memartabatkan gastronomi Melayu.
Jelasnya, Chef Kecik atau nama sebenarnya Mohd Rahmat Bahaudin bukan hanya terkenal sebagai pempengaruh makanan, malah turut memiliki latar belakang dalam bidang sains pemakanan.

“Beliau mempunyai kelebihan kerana bukan sekadar belajar memasak secara pengalaman semata-mata, tetapi memahami aspek saintifik dalam penyediaan makanan.
“Jadi proses memasak itu difahami sebagai sains, manakala hasil akhirnya adalah seni. Itu yang kita mahu tekankan dalam gastronomi Melayu,” katanya kepada Media Selangor.
SEGEMUK III dijangka berlangsung di Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan sasaran 200 peserta melibatkan 30 pembentang.
Dr Faisal yang juga Felo Penyelidik di ATMA UKM memaklumkan kepakaran Chef Kecik menghasilkan makanan asli dan lakuran (fusion) memberi perspektif baharu terhadap evolusi makanan Melayu masa kini tanpa mengabaikan identiti asal.
“Penglibatan beliau juga melambangkan kerjasama antara akademik dan industri, selaras dengan hasrat universiti untuk memperkukuh jaringan dengan pemain industri makanan,” katanya.
Penerima Anugerah Kecemerlangan Usahawan 2022 itu pernah merangkul gelaran Certified International Professional Image Consultant dari ByFERIAL, Australia juga Certified Member for Association of Image Consultant International (AICI).
Dalam pada itu, Dr Faisal berkata seminar bertemakan “Juadah Asli vs Lakuran” akan menumpukan sepenuhnya kajian dan seni makanan dari segi budaya, penyediaan, sejarah, pemakanan dan inovasi kulinari.
Tambahnya, ia bertujuan memartabatkan makanan tempatan sebagai warisan budaya di samping berkongsi ilmu antara cef profesional, ahli akademik, pelajar serta usahawan dalam industri makanan.
“Walaupun seminar ini bertaraf kebangsaan, kita sudah mula membuka ruang untuk melihat gastronomi dalam konteks lebih luas, termasuk aspek adat budaya yang dikongsi bersama negara serantau.
“Saya juga berharap penganjuran seminar ini menarik lebih banyak pihak untuk bekerjasama dalam memperkasa dan mempromosikan gastronomi Melayu ke peringkat lebih tinggi,” katanya.
Mereka yang berminat untuk menyertai seminar tersebut boleh mendaftar melalui pautan https://forms.gle/QLEK2LG2XoPfXFAG6 atau laman web https://tinyurl.com/segemuk2026









