(Antara hak menegur dan adab mempercayai, di situlah terletaknya kematangan sebuah masyarakat)
Kadang-kadang kita terlalu cepat hilang sabar dalam perkara besar, tetapi dalam perkara kecil kita sangat mudah memberi percaya.
Kita hantar kereta ke bengkel, kita serahkan kepada pomen, kita tunggu. Kita tak duduk sebelah dia tengok satu-satu skru dibuka. Kita tak ganggu setiap lima minit tanya “dah siap ke belum?”. Kita tak paksa dia ikut cara kita. Kita serahkan kepada yang ahli, kerana kita tahu dia tahu.
Itulah sebenarnya asas kehidupan bermasyarakat yang makin hari makin pudar iaitu, kepercayaan yang beradab.
Analogi mudah ini sebenarnya sangat dalam. Bila kita hantar kereta, kita bukan sekadar bayar servis. Kita sedang menyerahkan satu bentuk amanah. Dan amanah itu datang bersama dua perkara penting iaitu percaya dan intabih.
Percaya bukan bermaksud kita jadi buta. Intabih pula bukan bermaksud kita jadi paranoid. Dua-dua ini perlu berjalan seiringan.
Hilangnya keseimbangan
Masalah masyarakat hari ini bukan kurang ilmu semata-mata, tetapi hilangnya keseimbangan antara percaya dan curiga. Ada yang terlalu percaya sampai semua perkara ditelan tanpa soal. Ada pula yang terlalu curiga sampai semua perkara dianggap salah, walaupun belum tentu. Akhirnya, dua-dua ekstrem ini, merosakkan sistem dan menghancurkan kesejahteraan.
Dalam konteks rakyat dan pemimpin, perkara ini lebih jelas. Bila pemimpin dipilih, sama ada melalui pilihan raya, lantikan, atau sistem tertentu, itu sebenarnya ibarat kita memilih “pomen negara.” Kita serahkan kenderaan besar bernama negara kepada mereka untuk dibaiki, dipandu, dan diurus. Tetapi apa yang berlaku hari ini?
Ada rakyat yang terus hilang percaya walaupun baru sahaja seorang pemimpin menggalas amanah. Belum sempat ‘enjin’ negara dipanaskan, sudah dihentam, dihukum, dan dilabel gagal. Setiap keputusan dicurigai. Setiap tindakan dianggap ada agenda tersembunyi. Sebaliknya, ada juga yang terlalu taksub. Semua yang pemimpin buat dianggap betul. Tidak boleh ditegur. Tidak boleh dipersoalkan. Seolah-olah pemimpin itu maksum. Kedua-dua keadaan ini salah.
Serahkan kepada yang ahlinya
Islam sebenarnya sudah lama mengajar keseimbangan ini. Dalam konsep amanah, Nabi Muhammad SAW menyebut bahawa apabila sesuatu urusan diserahkan kepada bukan ahlinya, maka tunggulah kehancuran. Ini menunjukkan bahawa pemilihan pemimpin itu sangat penting. Kita mesti pastikan amanah diberikan kepada yang layak. Tetapi selepas amanah itu diberikan, adab kita juga berubah.
Seseorang itu tidak boleh lagi bersikap seperti sebelum memilih. Jika sebelum ini kita menilai, selepas ini kita menyokong dengan hikmah. Jika sebelum ini kita mengkritik, selepas ini kita menegur dengan adab. Di sinilah ramai yang gagal untuk faham.
Rakyat sering keliru antara hak bersuara dan adab menentang. Mereka rasa setiap kritikan adalah kebenaran. Mereka anggap setiap kemarahan itu keberanian. Padahal belum tentu.
Bina masyarakat rahmah
Dalam kerangka AISAR (Asas Islam Rahmah), pendekatan ini sangat jelas iaitu kita membina masyarakat yang berasaskan rahmah, bukan kebencian. Rahmah bukan bermaksud seseorang itu diam terhadap kesalahan, tetapi kita memilih cara yang membina, bukan menghancurkan.
Sesiapa pun boleh kritik, tetapi bukan dengan fitnah. Kita boleh tegur, tetapi bukan dengan hinaan. Kita boleh tidak setuju, tetapi bukan dengan kebencian. Inilah “intabih” yang sebenar. Intabih bukanlah semata-mata, berhati-hati terhadap pemimpin, tetapi juga berhati-hati terhadap diri sendiri, agar tidak menjadi penyumbang kepada kerosakan sosial.
Hari ini, media sosial menjadikan semua orang seperti ‘pakar segera.’ Semua orang rasa layak mengulas semua perkara. Tanpa data, tanpa konteks, tanpa ilmu. Akhirnya, yang lahir bukan masyarakat yang celik, tetapi masyarakat yang bising yang tiada isi. Barangkali, ada yang terlupa bahawa membina negara bukan kerja sehari. Sebagaimana seorang pomen membaiki kerosakkan enjin, ada proses, ada masa, ada tahapnya.
Kalau kita hantar kereta untuk overhaul enjin, kita faham ia makan masa. Kita tak marah pomen kalau belum siap dalam sejam. Kita tahu ada komponen yang perlu dibuka, dibersihkan, diganti.
Tetapi bila melibatkan negara, kita jadi tidak sabar. Baru beberapa bulan, kita sudah minta hasil seperti puluhan tahun. Ini tidak realistik. Namun, ini tidak bermaksud pemimpin boleh bebas tanpa pemantauan. Di sinilah konsep intabih perlu difahami dengan rasional dan matang.
Tidak terpengaruh naratif sensasi
Rakyat tetap perlu memerhati. Rakyat perlu menilai. Rakyat perlu bersuara jika ada salah. Tetapi semua itu mesti berasaskan fakta, bukan emosi apalagi benci semata-mata. Kita perlu belajar menjadi rakyat yang cerdas, bukan hanya lantang.
Rakyat yang cerdas tahu bila perlu menyokong dan bila perlu menegur. Mereka tidak mudah dipengaruhi oleh naratif sensasi. Mereka tidak cepat menghukum tanpa bukti. Mereka tidak menjadikan politik sebagai medan kebencian. Sebaliknya, mereka melihat politik sebagai amanah bersama.
Jika kita benar-benar faham analogi pomen tadi, kita akan sedar satu perkara penting, iaitu kita tidak hanya menyerahkan kereta dan lepas tangan. Kita tetap akan ambil semula kereta itu, kita akan pandu, kita akan jaga dengan sebaiknya. Begitu jugalah dengan negara.
Pemimpin bukan pemilik negara. Mereka hanya pengurus amanah. Rakyat tetap pemilik sebenar. Maka hubungan ini bukan hubungan tuan dan hamba, tetapi hubungan amanah dan tanggungjawab bersama. Dan di sinilah kematangan diperlukan.
Mengurus perbezaan
Jika rakyat hanya tahu menghentam, negara akan rosak. Jika rakyat hanya tahu menyokong tanpa fikir, negara juga akan musnah. Kita perlukan keseimbangan. Kepercayaan, kerana kita telah memilih, Intabih kerana kita tidak mahu ditipu, sokong kerana kita mahu kebaikan berlaku, dan tegur kerana kita mahu kesilapan diperbaiki.
Akhirnya, persoalan besar untuk kita semua bukanlah “adakah pemimpin itu sempurna?”, tetapi “adakah kita sebagai rakyat sudah cukup matang untuk mengurus perbezaan?” Kerana negara yang baik bukan hanya lahir daripada pemimpin yang hebat, tetapi daripada rakyat yang beradab.
Barangkali, sudah tiba masanya kita kembali kepada asas yang paling mudah sebagaimana kita percaya kepada seorang pomen. Bukan kerana dia sempurna, tetapi kerana kita tahu, tanpa kepercayaan, tiada apa yang boleh bergerak. Dan tanpa adab, semua yang bergerak akan rosak.
*Atriza Umar ialah calon Ijazah Kedoktoran (Kepimpinan Wanita) di Open University Malaysia (OUM).








