Gerai berbumbung, pusat rehat e-panggilan bakal dibina di Bandar Mahkota Cheras

15 Apr 2026, 1:11 PM
Gerai berbumbung, pusat rehat e-panggilan bakal dibina di Bandar Mahkota Cheras
Gerai berbumbung, pusat rehat e-panggilan bakal dibina di Bandar Mahkota Cheras

SHAH ALAM, 15 APRIL: Kemudahan gerai berbumbung untuk peniaga kecil serta pusat rehat khas bagi pemandu e-panggilan bakal dibina di Bandar Mahkota Cheras (BMC) dalam usaha meningkatkan keselesaan golongan berkenaan.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Kajang David Cheong berkata kedua-dua projek itu kini dalam peringkat perancangan dengan anggaran kos antara RM70,000 hingga RM100,000 bagi setiap kemudahan.

Menurutnya, pembinaan gerai berbumbung akan dilaksanakan di Laman Niaga 1 BMC bagi membantu penjaja menjalankan perniagaan dalam keadaan lebih selesa.

"Bagi penjaja, kita akan sediakan kemudahan berbumbung di Laman Niaga 1 BMC supaya mereka dapat berniaga dengan lebih selesa tanpa terdedah cuaca panas dan hujan.

"Dalam masa sama, kita cadangkan pusat rehat khas untuk pemandu p-panggilan kerana mereka ini banyak berada di jalan dan memerlukan tempat sesuai untuk berehat," katanya kepada Media Selangor.

Menurutnya, pusat rehat itu akan dibina di lokasi strategik berhampiran premis perniagaan yang menjadi tumpuan tempahan bagi memudahkan penghantar menerima pesanan tanpa perlu bergerak jauh.

Beliau berkata cadangan itu dibuat selepas turun padang dan mendengar sendiri keperluan peniaga serta pemandu p-panggilan.

"Penghantar sebelum ini terpaksa berehat di tepi jalan atau pulang ke rumah yang terletak jauh, sekali gus menjejaskan masa dan pendapatan mereka.

"Dengan adanya kemudahan ini, mereka boleh mengurus masa dengan lebih baik dan terus bekerja dengan lebih efisien," ujar beliau.

Tambahnya, pembinaan stor kecil turut dicadangkan bagi memastikan kemudahan pusat rehat dapat diselenggara dengan baik.

"Jika hanya dibina pusat rehat, timbul isu penyelenggaraan.

"Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) Nazli Md Taib mencadangkan sebuah stor kecil di sebelahnya yang boleh diusahakan sebagai kedai runcit, sekali gus membantu menjaga kawasan tersebut," tambahnya.

Menurutnya, pusat rehat e-panggilan dijangka dibiayai melalui sumbangan tanggungjawab sosial korporat (CSR) kira-kira RM100,000, manakala pembinaan gerai berbumbung di Laman Niaga 1 BMC menggunakan peruntukan pihak berkuasa tempatan.

"Projek ini kini di peringkat perancangan termasuk penyediaan pelan reka bentuk, dengan mesyuarat bersama agensi berkaitan seperti Unit Pengurusan Projek dan Fasiliti (UPF) MPKj turut diadakan.

"Kemudahan gerai berbumbung ini dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 21 penjaja sedia ada di lokasi berkenaan," ujarnya.

Beliau menyasarkan kedua-dua projek itu dapat disiapkan dalam tempoh beberapa bulan.

"Kita mahu percepatkan pelaksanaan kerana ini kemudahan asas yang diperlukan oleh peniaga dan penghantar e-panggilan di kawasan ini," katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.