SHAH ALAM, 17 APRIL: Dunia seni tempatan kini melangkaui medium tradisional apabila karya tidak lagi terhad kepada buku, sebaliknya berkembang ke fesyen dan budaya jalanan termasuk penghasilan kasut.
Seiring perubahan itu, Ketua Penerbit Rabak-Lit, Izzat Amir melihat seni kini diterjemah dalam bentuk lebih luas termasuk fesyen dan rekaan kasut.
Melalui jenama Fung Kiong (FK), beliau menggabungkan elemen sastera, muzik dan filem dalam penghasilan sneaker sebagai satu bentuk ekspresi seni.
“Seni sekarang bukan sekadar dibaca, tetapi boleh dipakai. Ia menjadi satu ‘statement’ yang membawa identiti dan cerita,” katanya.
Antara idealisme dan kelangsungan hidup
Izzat berkata, pengkarya hari ini perlu menyesuaikan diri dengan realiti semasa yang menuntut keseimbangan antara idealisme seni dan kelangsungan hidup.
Menurutnya, karya alternatif berdepan cabaran pasaran yang sukar diramal, sekali gus memerlukan keberanian untuk terus berkarya walaupun berdepan risiko.
“Dalam dunia seni, kita tak tahu mana satu akan menjadi. Ada karya yang kita jangka mendapat sambutan, tetapi tidak berhasil, dan ada juga yang di luar jangkaan tiba-tiba mendapat perhatian,” katanya menerusi program Siapa Tahu? terbitan Media Selangor pada 4 April lalu.
Beliau berkata, pengkarya perlu kekal konsisten dan terus menghasilkan karya baharu bagi memastikan kelangsungan dalam industri.
Platform dan ekosistem perlu diperkasa
Dalam masa sama, beliau menegaskan keperluan memperkukuh ekosistem seni tempatan, khususnya dari segi platform dan industri sokongan.
Katanya, walaupun terdapat pelbagai acara seni dan buku, kebanyakannya bersifat umum dan kurang memberi ruang khusus kepada karya alternatif.
“Platform untuk karya alternatif masih tidak jelas. Kita perlukan ruang yang lebih fokus supaya penulis dan penerbit baharu boleh berkembang,” katanya.
Beliau turut mencadangkan pembangunan industri pembuatan tempatan seperti kasut dan produk kreatif bagi mengurangkan kebergantungan kepada luar negara.
Mengulas lanjut, Izzat berkata penerbitan alternatif berperanan mengangkat suara golongan yang jarang diketengahkan dalam arus perdana.
Menurutnya, karya yang dihasilkan memberi ruang kepada kisah masyarakat biasa seperti pemandu bas, pekerja harian dan seniman jalanan untuk difahami oleh masyarakat.
“Golongan ini sebenarnya nadi kepada negara. Bila kita memahami cerita mereka, kita akan lebih menghargai kehidupan,” katanya.
Beliau percaya perubahan ini membuktikan seni sentiasa berevolusi mengikut zaman, namun tetap memainkan peranan penting dalam membentuk pemikiran dan identiti masyarakat.






