ad

Seorang anggota tentera maut, seorang lagi hilang di Pulau Mataking

13 Sep 2025, 11:01 AM
Seorang anggota tentera maut, seorang lagi hilang di Pulau Mataking

SEMPORNA, 13 SEPT: Seorang anggota tentera ditemukan maut, manakala seorang lagi masih hilang ketika sedang bertugas di Pos Gabungan PDRM-ATM di Pulau Mataking di sini, semalam.

Kehilangan mereka dikatakan disedari jam 6 petang semalam apabila masing-masing tidak berada dalam barisan ketika semakan rutin.

Berikutan itu, operasi pencarian digerakkan dengan bantuan semua anggota tentera di lokasi, sebelum mendapatkan bantuan bot daripada pihak resort berhampiran.

Menurut sumber, hasil pencarian kemudian menemukan seorang daripada anggota terbabit, Muhammad Irfan Haiqal Abdullah, 20, dalam keadaan tidak sedarkan diri di kawasan pantai di pulau berkenaan kira-kira jam 9.25 malam.

"Pasukan perubatan resort segera memberikan bantuan pernafasan (CPR), namun mangsa disahkan meninggal dunia.

"Seorang lagi anggota, Muhammad Zulkarnain Jaffar, 27, masih hilang dan usaha pencarian sedang diteruskan dengan bantuan bot tentera serta bot resort sekitar kawasan Pulau Mataking," katanya, lapor Berita Harian.

Sumber sama berkata mayat mangsa akan dibawa ke Hospital Semporna untuk tindakan lanjut.

Difahamkan kedua-dua anggota berkenaan adalah daripada Batalion Ke-5 Rejimen Askar Melayu Diraja (5 RAMD) dan ditempatkan di Kompeni C Kem Batu 3, Kluang, Johor.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Semporna Deputi Superintendan Jaafar Hakim mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.

"Setakat ini, siaran media untuk PDRM belum dapat dikeluarkan," katanya ringkas.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.