ad

Penjawat awam perlu beradaptasi, raih kepercayaan rakyat - MB

12 Sep 2025, 11:53 AM
Penjawat awam perlu beradaptasi, raih kepercayaan rakyat - MB

KLANG, 12 SEPT: Penjawat awam di Selangor perlu beradaptasi dan menyesuaikan diri dengan cabaran semasa bagi mengelakkan gelombang ketidakpercayaan rakyat terhadap institusi kerajaan, sekali gus mengekalkan kestabilan negara.

Dato' Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata, penjawat awam perlu membuktikan kewibawaan melalui penyampaian perkhidmatan yang cekap, penampilan yang meyakinkan dan penerangan yang jelas kepada rakyat.

“Kalau kita gagal beradaptasi, kesannya boleh merebak sehingga menjejaskan kestabilan negara. Malah, ada kalanya pemimpin yang tidak bersalah pun boleh menjadi mangsa tuduhan sehingga tercetus kekacauan,” katanya ketika berucap pada Majlis Hi-Tea Negeri Selangor, di sini, hari ini.

Menurut beliau, pengalaman negara seperti Nepal dan Indonesia menunjukkan apabila kepercayaan rakyat terhadap institusi kerajaan terhakis, ia boleh mencetuskan kegoyahan politik, sosial dan ekonomi.

"Persaingan kuasa besar bukan sahaja dalam aspek ketenteraan, tetapi juga teknologi, ekonomi dan budaya. Ia membentuk cara pemikiran rakyat, dan di sinilah pentingnya penjawat awam untuk menterjemahkan dasar dengan baik supaya masyarakat merasai kepuasan hati dan keadilan," katanya.

Jelasnya, kerajaan komited memperkukuh perkhidmatan awam dan memastikan integriti menjadi tonggak utama.

“Kita mahu memerangi rasuah hingga ke akar umbi. Saya percaya majoriti penjawat awam jujur dan bersih, hanya segelintir yang menyeleweng. Jangan biarkan yang sedikit itu menjejaskan imej keseluruhan,” tegasnya.

Tambah Amirudin, usaha meningkatkan kebajikan dan upah penjawat awam juga sedang diberi perhatian, termasuk persediaan ke arah sistem gaji progresif.

"Caranya ialah dengan memastikan pentadbiran bersih, dan dalam masa sama kita meningkatkan gaji serta upah agar seiring dengan tahap tanggungjawab mereka.

"Penjawat awam adalah tulang belakang rakyat dan perlu kekal berintegriti serta berilmu demi kestabilan negara," ujar beliau.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.