KUALA LUMPUR, 12 SEPT: Beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah, menepati ramalan apabila mara ke separuh akhir selepas menumpaskan rakan senegara, Go Pei Kee-Teo Mei Xing hari ini.
Pada aksi di Hong Kong Coliseum, pasangan ranking kedua dunia itu tidak berdepan masalah untuk mencatat kemenangan straight set 21-12, 21-15 dalam tempoh 31 minit.
Naib juara Kejohanan Dunia itu akan berdepan gandingan China, Jia Yifan-Zhang Shuxian, di separuh akhir esok selepas pasangan berkenaan menundukkan beregu Taiwan, Hsieh Pei Shan-Hung En Tzu, 21-12, 21-7.
Sementara itu, hasrat beregu lelaki negara, Wan Arif Wan Junaidi-Yap Roy King, untuk mengikut jejak langkah sama tidak kesampaian selepas tunduk kepada gandingan India, Chirag Shetty-Satwiksairaj Rankireddy.
Bagaimanapun, pujian harus diberikan kepada pasangan negara itu kerana tidak membenarkan lawan mereka meraih kemenangan mudah, sebelum tewas dalam pertarungan rubber set 14-21, 22-20, 16-21 dalam tempoh lebih sejam.
-- BERNAMA