SHAH ALAM, 12 SEPT: Kejohanan Sukan Selangor (SUKSES) ke-15 akan berlangsung mulai 17 September hingga 5 Oktober dengan menawarkan 411 pingat menerusi 211 acara.
EXCO pembangunan sukan berkata kejohanan dwitahunan kali ini memilih Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) sebagai tuan rumah dan menjangkakan lebih 2,300 atlet terlibat.
Melibatkan semua sembilan daerah, Najwan Halimi berkata SUKSES menjadi platform pembangunan sukan sekali gus membolehkan pentadbiran mengenal pasti atlet pelapis yang boleh diketengahkan pada masa depan.
“Semua daerah mengambil bahagian dan membariskan atlet terbaik masing-masing bagi merebut kejuaraan. Ini membolehkan lebih ramai atlet berpotensi diketengahkan ke peringkat negeri, kebangsaan dan antarabangsa.
“Edisi kali ini turut mengekalkan format pertandingan sukan di kejohanan Sukan Malaysia (SUKMA) tahun hadapan, selaras dengan usaha mempersiap dan memberi pendedahan awal kepada atlet Selangor,” katanya ketika mengumumkan SUKSES hari ini.
Najwan berkata sebanyak 11 sukan dipertandingkan iaitu boling padang taekwando, sepak takraw, bola jaring, ragbi, pencak silat, olahraga, bola keranjang, bola tampar, memanah dan ping pong.
“Semua acara berlangsung di sekitar MBDK kecuali ragbi, bola tampar, takraw, boling padang dan bola jaring di Shah Alam berikutan masalah fasiliti,” katanya.
SUKSES ke-14 yang diadakan dua tahun lalu di Hulu Langat melibatkan 1,187 atlet dengan penganjuran 109 acara menobatkan Petaling sebagai juara keseluruhan selepas mengutip 76 pingat termasuk 33 emas.
Atlet berbasikal daerah berkenaan, Khow Yong Peat serta Yong Ann Yi dipilih sebagai olahragawan dan olahragawati. Bagi acara keseluruhan, Sepang berapa di tempat kedua manakala tuan rumah meraih tempat ketiga.