SHAH ALAM, 12 SEPT: Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI menyalurkan 100 komputer riba kepada anak Selangor yang menuntut di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) tahun ini.
Ketuanya Ahmad Azri Zainal Nor berkata sumbangan bernilai RM150,000 itu bertujuan memudahkan urusan pembelajaran, khususnya bagi pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah (B40).
“Harapan saya, penerima akan menggunakan sumbangan ini sebaik mungkin dalam pembelajaran mereka. Kita juga menyediakan kad modul pengenalan pelanggan (SIM) percuma 30GB sebulan selama setahun.

“Sumbangan ini membantu mereka menyempurnakan tugasan akademik. Pentadbiran ini akan sedaya upaya menyediakan ruang dan peluang demi meningkatkan lagi aspek pendidikan,” katanya selepas menyerahkan sumbangan berkenaan kepada 27 penerima hari ini.
Beliau menjelaskan pelajar dari pelbagai IPTA seluruh negara itu merupakan kumpulan siri pertama, manakala baki penerima akan menerima sumbangan dalam masa terdekat.
Ahmad Azri berkata tahun ini Yayasan MBI turut memperuntukkan RM500,000 bagi menampung kos rangkaian internet kad SIM khusus untuk 3,000 mahasiswa.
“Sebelum ini kita ada serahkan kepada pihak-pihak lain antaranya ketua kampung, nelayan dan sebagainya, tetapi tahun ini memang tumpuan sepenuhnya diberikan kepada mahasiswa sebagai sokongan pembelajaran,” katanya.
Sementara itu pelajar diploma semester enam Universiti Selangor (Unisel), R Hansagouri, 20, berkata komputer riba terbabit akan memudahkan beliau menyiapkan tugasan tepat pada waktunya.

“Saya dari keluarga B40 dan dijaga oleh kakak angkat. Selama ini saya tiada peranti ini menyebabkan tugasan saya sering siap lambat kerana perlu pinjam komputer rakan sebilik.
“Hari ini saya sangat gembira kerana sudah memiliki komputer sendiri. Saya akan gunakan sebaiknya sepanjang menghabiskan tempoh pengajian,” katanya.