ad

Laporan Ketua Juri Hadiah Sastera Selangor 2024

12 Sep 2025, 1:30 AM
Laporan Ketua Juri Hadiah Sastera Selangor 2024

Oleh Faisal Tehrani (ketua juri)

Latar Belakang

Hadiah Sastera Selangor telah memasuki tahun ketujuh pada tahun 2022 ini. Hadiah ini terbuka kepada semua rakyat Malaysia dan tidak terhad kepada mereka di negeri Selangor sahaja.

Karya-karya yang dinilai adalah dari penerbitan Media Selangor dan rakan penerbit iaitu Dewan Bahasa dan Pustaka, dan Tukang Puisi. Penjaga gerbang karya yang diterbitkan di Media Selangor adalah saudara Fahmi Mustaffa (Pengelola Karya Sastera dan Seni) dan saudara Fazallah Pit (Editor Selangor Kini).

Atas saranan YAB Dato Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari, karya-karya dari medium seperti Dewan Sastera, Tunas Cipta; dan Tukang Puisi turut dinilai. Cadangan beliau adalah atas visi luas, dan kerana semangat berkobar beliau untuk memeriah dan merancakkan pembangunan sastera dan penulisan seni di Malaysia, dan Selangor khususnya.

Ketetapan bilangan 10 buah karya dari Dewan Bahasa dan Pustaka, Svara, dan Tukang Puisi diputuskan dalam satu mesyuarat bersama antara Media Selangor, bersama wakil rakan kerjasama pada tahun 2021.

Dalam mesyuarat seterusnya pada 9 Februari 2024 dengan Dewan Bahasa dan Pustaka ketetapan 10 buah ini dikekalkan tanpa sebarang penambahan.

Petugas yang memilih karya untuk diserahkan kepada penganjur Hadiah Sastera Selangor dari Dewan Bahasa dan Pustaka adalah saudara Mohd Hadi Roslan dari Bahagian Promosi dan Pengiktirafan untuk karya-karya tahun 2022 dan 2023; serta saudara Mohd Amizi Ikman Amran (juga dari Bahagian Promosi dan Pengiktirafan) untuk karya-karya tahun 2024; dan dari Tukang Puisi adalah saudara Fahd Razy.

Penganjur dan juri Hadiah Sastera Selangor tiada kuasa mengawal atau memilih karya yang dipilih oleh mereka.

Pemilihan Juri

Para panel juri dipilih atas dasar mereka dapat memberi penilaian saksama lagi merangkum. Ini lantaran qasad awal Hadiah Sastera Selangor adalah agar karya yang dipertandingkan hendaklah inklusif; kreatif-inovatif; menepati diversiti; canggih gubahannya; penuh estetika, lantas menyumbang kepada kekayaan batiniah seni dan rohani masyarakat pembaca dan penghayat seni di Selangor yang merupakan pusat huni pelbagai bangsa, kepercayaan dan cara fikir.

Untuk mencapai objektif ini, penganjur memilih dengan penuh waspada juri yang dapat memberikan penilaian sihat dari pelbagai kaca mata dan panca kerangka. Pertimbangannya adalah juri mesti mewakili pelbagai lapis usia, gender, profesyen, kepercayaan, dan latar belakang gaya seni. Oleh itu juri-juri Hadiah Sastera Selangor adalah unik dan tersendiri, bak kata peribahasa Melayu ‘hendak ucok dilawan damai, hendak perang giling peluru’.

Juri yang dipilih adalah mereka dari kalangan penerbit; aktivis dan birokrat seni budaya; kurator festival; ejen butik sastera; penerjemah; penyunting; jurnalis seni; kurator toko buku rangkaian antarabangsa, pembimbing bengkel pembinaan karya, dan ahli akademik. Mereka membawa sama pengalaman dan pengetahuan ketika perbahasan berjalan. Semua juri dikenalpasti adalah pembaca, pengekor dan penggemar seni sastera yang tegar, dan tidak pula meletakkan syarat apabila menawarkan khidmat mereka.

Latar belakang pendidikan juri untuk Hadiah Sastera Selangor juga berbeza dari kebanyakan hadiah dan anugerah sastera dan seni yang lain. Latihan awal mereka meliputi bidang kesusasteraan, agama Islam, pendidikan, teater, catan, kewartawanan, bahasa dan linguistik, serta kejuruteraan. Ini kerana penganjur mengambil kira karyawan dewasa ini terdiri dari pelbagai ragam manusia. Bahkan semakin banyak karya sastera Melayu hari ini dihasilkan oleh mereka yang bukan dari bidang sastera awalnya. Kepelbagaian ini demi memastikan karya yang dinilai kelak tidak jumud, sebaliknya segar; tidak basi, bahkan diharap boleh diingati sepanjang zaman.

Semua juri juga telah dikenalpasti awal, dan diingatkan untuk tidak membaca karya yang tersiar di wadahnya, dan hanya membaca dari senarai yang diserahkan sahaja, di mana identiti karyawan telah dipadam.

Juri hanya mengetahui siapakah pengarang karya yang disaring atau dimenangkan setelah keputusan dibuat. Panel juri yang menilai karya tahun ini adalah:

Untuk kategori cerpen, juri adalah:

  • Dr Haji Mohd Faizal Musa/Faisal Tehrani (Ketua)

  • Puan Sayiidah Mu'izzah Kamarul Shukri (Panel)

  • Encik Fasyali Fadzly Saipul Bahri (Panel)

Untuk kategori puisi, juri adalah:

  • Haji Al-Mustaqeem Mahmod Radhi (Ketua)

  • Dr Alina Abdullah (Panel)

  • Al-Abror Mohd Yusuf (Panel)

Bagi kategori esei , juri adalah:

  • Encik Abdul Nazir Harith Fadzilah (Ketua)

  • Encik Muhamad Azan Safar (Panel)

  • Encik Zul Fikri Zamir Mohamad Munir (Panel)

Kaedah Saringan dan Penilaian Karya

Dalam saringan awal, semua juri yang terpilih telah dipastikan untuk tidak membaca lebih awal karya-karya yang pernah diterbitkan di semua medium. Ini untuk memastikan panel juri tidak ada sebarang tanggapan.

Ketua Juri Hadiah Sastera Selangor 2022, Dr Mohd Faizal Musa (Faisal Tehrani) telah bertemu dengan wakil penganjur dari Media Selangor saudara Fazallah Pit untuk mesyuarat awal pada 21 Jun 2025 di Shah Alam, Selangor.

Kedua-duanya melakukan penyaringan karya dalam genre cerpen dan puisi pada 3 Julai 2025; dan 8 Julai 2025 di Bandar Baru Bangi, Selangor. Karya dalam genre esei tidak disaring memandangkan jumlahnya tidak terlalu besar. Penganjur mengorbankan karya yang diterbitkan di Selangor Kini di peringkat saringan untuk memastikan hanya 20 buah karya sahaja di bawa ke peringkat seterusnya.

Karya yang dibekalkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka dan Tukang Puisi tidak disaring dan semuanya dibawa terus ke penilaian akhir tanpa prejudis. Ini untuk memastikan tiada rungutan berbangkit di pihak rakan kerjasama.

Secara keseluruhannya, sebanyak 42 buah cerpen terbitan Selangor Kini dinilai dan hanya 10 buah diterima ke pusingan seterusnya di peringkat pertama ini. Manakala sejumlah 46 buah puisi dibaca dan 15 buah dibawa ke peringkat seterusnya. Sebanyak 9 buah esei dibawa ke penilaian akhir. Semua juri kemudian dibekalkan dengan senarai yang telah disaring pada 9 Julai 2025.

Panel juri diberi masa hampir sebulan untuk membaca, dan membawa penilaian awal masing-masing untuk dinilai pada 6 Ogos 2025 selama seharian di Shah Alam, Selangor. Pada hari penjurian akhir ini juga, untuk keadilan ada karya yang tertolak di peringkat saringan turut dibaca dan dinilai semula. Dalam erti kata lain, terdapat karya yang tercicir dari Selangor Kini di peringkat saringan awal dibaca kembali atas permintaan ketua atau panel kategori tersebut.

Ketika penilaian dilakukan juri juga diminta tidak memeriksa karya tersebut di dalam talian. Dalam erti kata lain para juri tidak mengetahui siapakah empunya karya; dan menilai sepenuhnya bersandarkan mutu karya yang telah ditetapkan.

Para juri diberikan tiga kondisi oleh penganjur:

  • Hanya seorang pemenang untuk satu kategori dalam satu-satu tahun.

  • Pemenang bagaimanapun boleh berulang dalam satu-satu tahun jika sumber penerbitan berbeza.

  • Pemenang boleh berulang di dalam kategori berbeza dalam satu-satu tahun yang sama.

Panel juri ditugaskan mencari seorang pemenang Hadiah Utama untuk setiap kategori untuk satu-satu tahun, dan tiga lagi penerima Hadiah Penghargaan untuk setiap kategori untuk satu-satu tahun. Mereka juga diminta memilih dua lagi karya sebagai simpanan sekiranya terdapat pemenang berulang dalam satu kategori.

Di peringkat ini hanya penganjur sahaja mengetahui sekiranya ada kemenangan bertindih. Penganjur akan meminta judul tersebut digantikan. Mana-mana pemenang yang berganda dalam kategori sama itu diputuskan setelah perdebatan untuk karya simpanan dilakukan.

Selepas pemilihan dalam kategori dilakukan, semua panel juri berhimpun kembali untuk membahaskan karya pemenang ini. Ketua Juri memastikan tidak ada pertikaian, dan sebarang ekor rasa tidak puas hati telah didamaikan. Di akhir sekali setiap juri diminta menyatakan pandangan akhir mereka. Ini bagi memastikan penjurian kategori dilakukan secara sepakat, dan bukan hanya berdasarkan majoriti 2-1.

Karya-karya yang dimenangkan telah dipilih dan diputuskan, untuk cerpen; berdasarkan:

  • Kekuatan tema, yakni yang relevan dengan isu semasa, dan mengungkapkan persoalan, keresahan, dan konflik dalam masyarakat. Jika karya tersebut menggunakan acuan garda depan, sebarang simbolisme dan makna tersembunyi - jika ada - cuba diselongkar menerusi petunjuk sasterawi.

  • Pemilihan genre karya hendaklah sesuai dengan tema yang dibawa. Pengarang sepatutnya menguasai ciri genre yang digunakan. Ini bermaksud karya yang dinilai itu hendaklah memiliki alat penceritaan yang sesuai, mantap dan munasabah.

  • Karya hendaklah memaparkan kausaliti teguh, waras dan tidak mengkesampingkan ketekalan imaginasi atau konsistensi jika dipersembahkan dalam bentuk non-realisme. Dalam banyak keadaan juga juri mencari ‘perubahan’ iaitu drama di dalam karya.

  • Juri mencari karya yang masak, matang dan tidak tergesa-gesa. Di mana ia telah melalui proses pengeraman, penulisan, dan penyuntingan yang rapi.

  • Sesebuah cerpen hendaklah memiliki naratif, dan bukan hanya ulasan-ulasan wacana, gagasan atau teori tertentu yang disolek serba sedikit dengan cerita. Terdapat karya dengan retorika yang tidak dikembang dan digarap secara leteran. Juri menemukan beberapa cerpen seumpama ini ketika penjurian. Karya begini diketepikan.

  • Cerita hendaklah memiliki latar menyeluruh, khususnya jika genre karya adalah sejarah. Untuk membina sesebuah cerita yang meyakinkan, riset latar perlu dititik-beratkan, dan diketengahkan dalam karya secukupnya.

  • Penggunaan bahasa tidak semestinya berbunga, atau indah semata, tetapi hendaklah pula sesuai dan seimbang dengan genre yang dipilih.

  • Akhir sekali, juri juga mencari karya yang boleh menjanjikan elemen malar segar, di mana ia mempunyai unsur kejutan, kelainan dan sebab khas untuk diingati.

Untuk kategori esei;

  • Panel juri berpandangan sesebuah esei bukanlah semesti menghamburkan fakta atau penyataan yang tidak dikembangkan.

  • Panel juri lebih tertarik kepada elemen seperti pengarkiban, dan terdapatnya sentuhan, sikap dan pandangan peribadi yang tuntas.

  • Juri kategori esei juga mencari perenungan peribadi pengarang di dalam esei. Jika perenungan dan pemerhatian itu segar ia mestilah diungkap secara jujur, dan berusaha meyakinkan pembaca.

Untuk kategori puisi;

  • Panel juri menekankan kemampuan puitis seseorang penyair dalam menyuguhkan ungkapan yang segar, atau dalam bahasa mudahnya, lain. Kelainan ini akan membawa kepada rasa terpagut, tersentak, dan kesan seni yang khas lagi tersendiri. Tambahan lain, puisi dengan kerangka keakuan yang ketara kurang dipertimbangkan.

Berikut adalah laporan penjurian setiap kategori.

KATEGORI CERPEN

Wakil penganjur dari Media Selangor, saudara Fazallah Pit dan Ketua Juri Hadiah Sastera 2024, Dr Mohd Faizal Musa (Faisal Tehrani) bertemu pada 3 Julai 2025 dan 8 Julai 2025 untuk proses penyaringan genre puisi dan cerpen. Kedua-duanya bersetuju bahawa senarai cerpen untuk tahun ini agak lemah, dan longgar. Ini berbeza dengan senarai puisi yang lebih kompetetif.

Penganjur juga telah menghubungi Pengelola ruangan karya di Selangor Kini untuk beroleh ulasan beliau, dan laporan yang diberikan adalah menepati tanggapan Ketua Juri Hadiah Sastera Selangor.

20 buah cerpen dari Selangor Kini diajukan untuk pusingan seterusnya. 10 yang lain dari penerbitan rakan kerjasama. Juri berpandangan karya terpilih untuk tahun 2024 ini tidak menggambarkan kebolehan sebenar pengarang, dan ada yang digarap tergesa-gesa. Selain itu, tema yang dihadirkan meskipun kuat malangnya digubah tanpa melalui tahap pengeraman dan penyuntingan yang teliti. Ini misalnya terlihat pada cerpen Aira. Rata-rata cerpen adalah mentah dan tidak cukup dewasa.

Terdapat cerpen yang rapi strukturnya tetapi pemilihan gaya bahasa yang diketengahkan tidak dapat dipertanggungjawabkan sepenuhnya selaku karya berbahasa Melayu.

Setelah berbincang, panel juri memilih lima buah cerpen untuk dibahaskan di pusingan berikut. Cerpen-cerpen tersebut adalah:

  • Brunette

  • Parak

  • Lampu-lampu di Laut

  • Bak Nak Kahwin Lagi

  • Tivi Rafah

Setelah berbincang panjang lebar, panel juri kategori cerpen memutuskan untuk memberi;

Hadiah Utama: Tivi Rafah

Cerpen ini adalah jelas satu cerminan kepada isu semasa yang mencakar-cakar kalbu umat manusia. Tanpa perlu mengomel mengenai genosid dan desakan kemanusiaan di Gaza yang menuntut perhatian, ia hadir sebagai satu naratif yang mengasak watak-wataknya dan meletakkan mereka di dalam dilema.

Watak-watak Saya, Ali, dan Kassim diberi pilihan untuk berempati terhadap isu Palestin tetapi tersepit dengan keperluan untuk hidup. Ia secara mudah menghujahkan bahawa boikot atau pemulauan ekonomi yng diusahakan umat mempunyai harganya. Selain mengungkapkan keadaan umat yang berada dalam serba-salah, mesti peka selalu, ia secara halus mempertengkarkan persimpangan sikap dan kehendak moral individu yang dikerangkakan dalam isu geopolitik. Cerpen ini juga merupakan sindiran terhadap puak ekstremis Islam yang melakukan penyingkiran kepada mereka yang ditanggapi tidak sensitif manusiawinya.

Tivi Rafah adalah satu-satunya cerpen yang dpaat dianggap seimbang serba-serbi dari segi naratif, berbanding karya lain. Juri juga memilih tiga lagi karya untuk diberikan anugerah yang telah diperuntukkan. Cerpen-cerpen tersebut adalah;

Hadiah Penghargaan

Lampu-Lampu di Laut

Cerpen ini mengemukakan tema yang lain iaitu kedudukan anak tanpa kewarganegaraan. Meskipun tema hak asasi manusia ini penting tetapi juri berpendapat tiada tenaga yang kuat dalam persembahan naratifnya. Masalah yang diutarakan disuguh sambil lalu, dan kurang menggigit.

Panel bahkan tidak merasai dorongan yang diperlukan apabila masalah besar ini diungkapkan. Mujur cerpen ini masih mempunyai latar yang dapat dirasai, dan mampir bersama-sama dialek setempat iaitu Bajau Laut.

Brunette

Cerpen ini mengisahkan masalah masyarakat urban, pasangan kota mendepani perceraian secara matang, meskipun dapat ditelah oleh segelintir orang sebagai ‘absurd’.

Pun, panel merasakan sentuhan yang diajukan begitu rantingan. Pencirian dalam cerpen anti plot begini dalam kebanyakan karya di Selangor Kini sejak tahun-tahun terdahulu menimbulkan kesan pengulangan yang biasa.

Sebagai sebuah karya dalam bahasa Melayu ia juga hadir dengan dialog bahasa Inggeris, yang belum tentu terhitung relevan dengan watak dan perwatakannya.

Bak Nak Kahwin Lagi

Cerpen ini agak menarik menurut panel juri kerana ia membina momentum dan klimaksnya secara teratur, dengan pendedahan sedikit demi sedikit. Panel juga terhibur dengan kejutan yang diberi dan dapat dikatakan, sebagai tidak disangkakan.

Tema kesihatan seksual lelaki dan masyarakat menua mungkin bukanlah satu subjek yang menyenangkan untuk diperi, tetapi pengarang berani mencuba untuk berkincah di dalamnya.

Terdapat kesan erotis dan perlambangan yang terkawal. Pengarang nampaknya arif bahawa gambaran keinginan seksual lelaki tua yang masih bernafsu jika diperincikan secara keterlaluan akan membawa kejijikan.

Cerpen ini tergolong dalam kategori karya humor yang menurut kami langka dan di tengah tahun penjurian yang kekontangan cerpen bermutu, ia mampu menyerlah.

Panel juri mengucapkan tahniah atas kemenangan pengarang di atas.

KATEGORI PUISI

  • Al-Mustaqeem Mahmod Radhi (Ketua)

  • Alina Abdullah (Panel)

  • Al-Abror Mohd Yusuf (Panel)

Bagi menilai sejumlah karya puisi yang diberi kepada kami untuk diberikan Hadiah Sastera Selangor tahun 2023, panel juri mengekalkan kriteria tahun-tahun 2022 dan 2023 di man kami memberikan penekanan kepada keseimbangan mutu antara sekian kriteria yang umum, yakni isi dan tema (keutamaan kepada idea yang asli), daya cipta (penggunaan perlambangan dsbnya), struktur dan bentuk, bahasa dan pemilihan kata, ritma dan bunyi.

Termasuk dalam keseimbangan yang dicari ini, adalah sedaya mana penyajak berjaya menyusun kata tanpa mengurangkan pada jiwa pembaca kesan perasaan yang ingin diluahkannya. Sudah tentu hal ini subjektif tetapi masih terpakai seperti tahun sebelum.

Secara keseluruhan sebanyak 46 buah sajak dibaca dari Selangor Kini, 15 buah dibawa ke peringkat akhir dan diserahkan kepada panel juri untuk dinilai. Total puisi adalah 34 buah dari ke semua platform bagi 2024. Dapat dikatakan tahun 2024 adalah tahunnya puisi di mana banyak sajak yang baik diketengahkan.

Dari segi kelemahan pula, masih ada kecenderungan bereksperimentasi dan kecuaian kecil atau nada menyuguh-maksa, dan berlebihan, menjadikan puisi terganggu keseimbangannya.

Terdapat puisi yang lucu justeru segar dan memikat, ini misalnya ditemukan pada sajak Haji Balik Hari. Namun begitu di tahun yang persaingannya sengit panel juri perlu kembali kepada keseimbangan mutu dan kriteria lain yang telah ditetapkan tersebut.

Bagi karya-karya 2024, panel juri mensepakati keputusan seperti berikut:

Hadiah Utama: Malam dan Matahari ​​

​​Sajak Malam dan Matahari menarik perhatian panel juri kerana kekuatan pengarang dalam menghantar gambaran dan tema yang ditetapkan dengan perlambangan yang segar dan renungan yang menarik, antaranya pada bait “kupu-kupu di bucu kamar terperangkap, gagal keluar / ia barangkali petanda ajal / atausimbolik kelahiran.” Penyajak menggambarkan suasana jiwa secara tekal dan  sekata dari awal hingga akhir. Meskipun menyampaikan kesepian dan rasa tidak berdaya, sajak ini ditulis dengan bersahaja, tidak terasa dipaksa-paksa. Pemilihan kata-katanya juga berhemat. Pengkarya juga memperlihatkan keterampilan dalam penggunaan alat puisi seperti aliterasi pada dua bahagian berikut: 

“senyap-senyap menanggalkan

kelopak temaram & meninggalkan

bau malam”

 

“di ambang duha di luar

suara & wajah manusia – 

di rembang duha di kamar

sepi & rupa kenangan”

 

Hadiah Penghargaan

Hijran Mahjura ​​

Perbualan dengan diri dalam sajak digubah dalam bentuk yang cukup sekata, dengan kadar suku kata yang seimbang (kecuali pada bait “nanti, aku belum lagi berani” yang barangkali dapat ditambah satu atau dua perkataan bagi menyeimbangkannya dengan bait yang hampir serupa dalam dua rangkap sebelum itu), dari rangkap ke rangkap dengan menggunakan objek perlambangan yang berkait (bermula dengan arang, seterusnya bara, api dan abu). 

 Menjadi Ayah ​

Sajak ini mengambil tema yang cukup sederhana namun mengungkapkan perasaan dan gejolak fikiran seorang lelaki yang menjadi ayah buat kali pertama secara halus. Dalam kesempatan yang terhad, pengarang sempat turut menyelitkan perubahan yang sedang dan bakal berlaku, antaranya pada bait “beberapa tahun lagi matakubukan lagi rumah sunyi,” Sajak ini boleh disebut sebagai sajak suasana yang baik—suasana sekitar yang nyaris seperti babak realisme magis, menggubah kata-kata yang klise seperti “syurga di bawah tapak kaki ibu” menjadi “lihat hari ini / burung-burung terbang rendah / mungkin mengintai syurga yang baru tumbuh di telapakkakimu” dan juga suasana batin (mengecap sampai ke dasar / hatiku laut pasang /sejenak terpecah lalu melekat di tebaran karang). Membacanya, kita bukan sajadapat membayangkan bahagia si ayah tetapi juga sedikit sebanyak menumpangrasa. 

Sebelum Berangkat Hujan Pun Turun ​

Sajak ini juga menggunakan tema yang biasa tetapi dengan pengungkapan yang mantap dan lancar. Babak-babak bayangan dalam sajak disusun dengan baik dalam bentuk pesanan seorang ibu yang memikat, tanpa klise. 

 Namun, terdapat sedikit kelemahan pada bahagian akhir sajak ini. Bait “melayah bagai camar yang tahu membaca belahan angin” kedengaran agak sedap, namun mengandungi kekurangan. Pertama, penggunaan camar sebagai perlambangan sedangkan sebahagian besar bahagian sebelumnya menyebut bedar dan pelayaran. Kedua, penggunaan perkataan “melayah” yang menyiratkan kelemahan sedangkan “melayang” barangkali lebih tepat untuk “camar yang tahu membaca belahan angin.“ 

Panel juri mengucapkan tahniah kepada semua pemenang.

KATEGORI ESEI

  • Abdul Nazir bin Harith Fadzilah

  • Muhammad Azan Safar

  • Zul Fikri Zamir Mohamad Munir

Hadiah Utama: Semuanya Telah Diungkapkan

Esei ini berjaya mengungkapkan apa yang mungkin telah difikirkan ramai orang tentang idea keaslian dan kebaharuan dalam sebuah kembara perenungan bersama-sama penulis yang bergelut idea itu sendiri. Penulis berjaya membawa pembaca untuk cuba memahami dan bersimpati dengan penulis dan dalam masa yang sama mencetuskan gerak daya fikir buat membaca untuk mengambil haluan masing-masing dalam cuba bergelut dengan idea keaslian dan kebaharuan. Pengolahannya berkesan dalam menulusuri pelbagai aspek, baik daripada sudut sastera, sejarah dan keintiman peribadi, lantas memberikan nafas segar pada tema esei. Bahasa yang digunakan mengalir lancar dan berpuitika. Kekuatan esei ini–dalam bentuknya yang terbuka dan peribadi–ialah dalam membuka ruang untuk pembaca bersama-sama memikirkan idea yang diketengahkan bukan sekadar memberikan jawapan yang muktamad.

Hadiah Penghargaan

Ketiga-tiga esei yang menerima hadiah penghargaan untuk tahun ini berkisar tentang karya seni dan cara menanggapinya. Ketika Sajak Muncul dan Akibatnya berjaya membawa pembaca mengembara tentang makna sajak dalam naratif peribadi penulis. Ada keringanan dalam menyampaikan sesuatu yang berat. Sebuah esei yang sederhana, padat dan ringkas, berkadaran dalam menyampaikan maksudnya. Nota Sulit Menyelongkar Renungan Rasa dan Kritikan Sastera mempermasalahkan bentuk genre kritikan sastera. Hujah disusun dengan mengambil kira sumber tempatan dan antarabangsa. Sastera Dalam Seluloid melihat perhubungan karya sastera dalam filem. Wacana yang diketengahkan menarik minat pembaca bilamana penulis agak teliti dalam merungkaikan anatomi filem dalam menghujahkan tema.

Kami mengambil kesempatan di akhir ini untuk mengucapkan tahniah.

Rumusan

Kami panel juri ingin memberikan kredit kepada pihak Selangor Kini, kerajaan negeri Selangor, rakan kerjasama, pengelola mahupun para editor yang bertungkus-lumus membangunkan karya sastera, fiksi dan non fiksi, tanpa sebarang prejudis. Kami juga bersepakat menganjurkan pihak Selangor Kini untuk terus mengasuh pengarang-pengarang sedia ada dengan program berbentuk bengkel agar kualiti kerja para sasterawan masa hadapan ini semakin membaik.

Semoga usaha berterusan ini akan diberi terus diberi perhatian dan sokongan.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.