SHAH ALAM, 11 SEPT: Hadiah Sastera Selangor 2025 sempena 10 tahun acara itu berlangsung meriah di Hotel Wyndham Acmar, Klang malam ini, dengan dihadiri lebih 100 orang termasuk penulis.
Dirasmikan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari, acara itu turut dihadiri Tokoh Wartawan Negara Tan Sri Johan Jaafar dan Ketua Pegawai Eksekutif Media Selangor Sdn Bhd, Mohamed Fareed Mohamed Ashaaree.
Seramai sembilan penulis karya kreatif tanah air diumum sebagai pemenang utama dalam majlis berprestij tersebut.
Dinilai dari 2022 hingga 2024, pemenang utama kategori cerpen, puisi dan esei membawa pulang wang tunai RM6,000 manakala 27 penulis setiap kategori memenangi RM1,500 sebagai penghargaan, menjadikan hadiah keseluruhan sejumlah RM94,500.
Hadiah Sastera Selangor yang bermula sejak 2015 disiarkan dalam akhbar mingguan atau portal berita SelangorKini terbitan Media Selangor, agensi rasmi penerangan Kerajaan Negeri.
Namun mulai 2021, terbitannya diperluas ke Dewan Sastera (terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka), jurnal kebudayaan Svara dan halaman media sosial Tukang Puisi.
Semua penilaian diadili sembilan juri yang diketuai Dr Faisal Tehrani.

Berikut senarai judul dan penulis yang menang dalam setiap kategori:
Cerpen
Pemenang utama:
2022 - Matinya Sepasang Anjing Jadian (Zainal Rashid Ahmad, Dewan Sastera)
2023 - Enuresis (Nurimas SN, SelangorKini)
2024 - Tivi Rafah (Lokman Hakim, SelangorKini)
Sajak
Pemenang utama:
2022 - Klise Encik Ben (Nasser Mikraj, SelangorKini)
2023 - Parabellum (Ariff Mustaffa Hamzah, SelangorKini)
2024 - Malam dan Matahari (Ariff Mustaffa Hamzah, SelangorKini)
Esei
Pemenang utama:
2022 - Mencari Makna Umpanan Kemaafan Lewat Karya Sastera (Qurratul Ain, SelangorKini)
2023 - Melayu Desa Melayu Kota (Johan Radzi, SelangorKini)
2024 - Semuanya Telah Diungkapkan (Qurratul Ain, SelangorKini)

Hadiah Sastera Selangor yang bermula sejak 2015 diperkenal Amirudin ketika beliau menyandang jawatan EXCO Pembangunan Belia, Sukan, Kebudayaan dan Keusahawanan.
Usaha baharu itu sejajar cadangan kumpulan juri Hadiah Sastera Selangor 2020 seperti dibentangkan dalam majlis anugerah yang disiarkan dalam talian pada 20 Julai 2021.
Karya kumpulan pemenang tersebut turut dirakam dalam buku Si Pena setiap tahun selepas majlis anugerah dan dilancarkan pada majlis tahun berikutnya.