SUBANG JAYA, 11 SEPT: Program Komuniti Belia Selangor (SAY) Aspire terus menunjukkan impak positif dalam memperkasakan usahawan tempatan terutamanya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PKS) di negeri ini.
Menurut EXCO keusahawanan, penganjuran SAY Aspire sejak diperkenalkan pada 2018 lalu berjaya melahirkan lebih usahawan 150 PKS dengan matlamat utama untuk memasarkan produk Malaysia ke pasaran global.
“Inisiatif ini bukan sahaja membuka ruang kepada produk tempatan untuk dikenali di peringkat antarabangsa malah memperkasakan usahawan Selangor dalam usaha meningkatkan kualiti dan daya saing produk mereka,” kata Mohd Najwan Mohd Halimi.
Beliau berucap pada program Komuniti Belia Selangor (SAY) Aspire edisi keenam di Hotel Sunway Resort & Spa di sini, hari ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SAY, Aiman Syafiq Nazri memaklumkan 10 usahawan terbaik diberi peluang untuk mempersembahkan idea perniagaan mereka dalam sesi akhir program tersebut.
“Melalui SAY Aspire, para usahawan bukan sahaja diberikan platform untuk menonjolkan potensi mereka tetapi juga pendedahan penting tentang cara menembusi pasaran eksport.
“Kami turut bekerjasama rapat dengan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) bagi membantu usahawan memasuki pasaran antarabangsa,” jelasnya.
Beliau menambah, SAY Aspire menjadi asas penting bagi usahawan muda mengembangkan produk secara mampan serta pemangkin melahirkan usahawan yang bersedia bersaing di peringkat global.

Terdahulu, Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah berkenan mengetuai proses penjurian yang melibatkan 10 peserta akhir bersama beberapa individu lain termasuk Najwan.
Baginda turut berkenan meninjau setiap reruai usahawan yang mengambil bahagian sambil meneliti dan mengenali dengan lebih dekat produk yang dipamerkan sebagai tanda sokongan dan galakan kepada para usahawan tempatan.