KUALA LUMPUR, 11 SEPT: Operasi pengosongan rumah di Kampung Sungai Baru di sini hari ini, dibuat mengikut undang-undang dan arahan mahkamah, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa.
Dr Zaliha berkata keputusan itu bukan dibuat sendiri oleh kerajaan sebaliknya merupakan hasil proses perundangan yang telah diputuskan oleh mahkamah dan wajib dipatuhi.
“Keputusan ini bukan dibuat sendiri tetapi melalui mahkamah. Bila mahkamah sudah keluarkan perintah, ia perlu dilaksanakan dan penjawat awam tidak boleh dihalang daripada melaksanakan tugasan mereka.
“Mereka yang tidak bersetuju pula telah menerima pampasan. Kalau masih tidak berpuas hati dengan jumlah pampasan, saluran undang-undang iaitu mahkamah tetap terbuka,” katanya kepada pemberita selepas majlis prapelancaran Malaysia Sarong Music Run di sini hari ini.
Dr Zaliha berkata majoriti penduduk di kawasan berkenaan telah bersetuju dengan projek pembangunan semula dan telah menunggu lebih lapan tahun untuk melihat pelaksanaannya.
Beliau berkata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menekankan keperluan isu itu diselesaikan secara tuntas dengan mengambil kira semua pihak, sambil beliau sendiri menyeru rakyat agar bertenang dan tidak menimbulkan ketidakharmonian.
“Saya amat kesal dengan insiden yang berlaku pagi ini, walaupun kerajaan telah bekerjasama rapat dengan pihak keselamatan khususnya Polis Diraja Malaysia (PDRM) masih ada provokasi yang tidak dijangka.
“Saya berharap semua pihak mengambil serius isu keamanan negara dan tidak melakukan tindakan yang boleh mencetuskan provokasi serta menggugat keharmonian,” katanya.
Terdahulu, polis bersama agensi penguat kuasa melaksanakan operasi pengosongan rumah di Kampung Sungai Baru susulan arahan mahkamah.
Bagaimanapun, keadaan tegang berlaku apabila Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Sulizmie Affendy Sulaiman cedera dipercayai terkena balingan batu oleh individu tidak dikenali ketika mengawal situasi.