Oleh Faisal Tehrani (ketua juri)
Latar belakang
Hadiah Sastera Selangor telah memasuki tahun ketujuh pada tahun 2022 ini. Hadiah ini terbuka kepada semua rakyat Malaysia dan tidak terhad kepada mereka di negeri Selangor sahaja.
Karya-karya yang dinilai adalah dari penerbitan Media Selangor dan rakan penerbit iaitu Dewan Bahasa dan Pustaka, dan Tukang Puisi. Penjaga gerbang karya yang diterbitkan di Media Selangor adalah saudara Fahmi Mustaffa (Pengelola Karya Sastera dan Seni) dan saudara Fazallah Pit (Editor Selangor Kini).
Atas saranan YAB Dato Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari, karya-karya dari medium seperti Dewan Sastera, Tunas Cipta; dan Tukang Puisi turut dinilai. Cadangan beliau adalah atas visi luas, dan kerana semangat berkobar beliau untuk memeriah dan merancakkan pembangunan sastera dan penulisan seni di Malaysia, dan Selangor khususnya.
Ketetapan bilangan 10 buah karya dari Dewan Bahasa dan Pustaka, Svara, dan Tukang Puisi diputuskan dalam satu mesyuarat bersama antara Media Selangor, bersama wakil rakan kerjasama pada tahun 2021.
Dalam mesyuarat seterusnya pada 9 Februari 2024 dengan Dewan Bahasa dan Pustaka ketetapan 10 buah ini dikekalkan tanpa sebarang penambahan.
Petugas yang memilih karya untuk diserahkan kepada penganjur Hadiah Sastera Selangor dari Dewan Bahasa dan Pustaka adalah saudara Mohd Hadi Roslan dari Bahagian Promosi dan Pengiktirafan untuk karya-karya tahun 2022 dan 2023; serta saudara Mohd Amizi Ikman Amran (juga dari Bahagian Promosi dan Pengiktirafan) untuk karya-karya tahun 2024; dan dari Tukang Puisi adalah saudara Fahd Razy.
Penganjur dan juri Hadiah Sastera Selangor tiada kuasa mengawal atau memilih karya yang dipilih oleh mereka.
Pemilihan Juri
Para panel juri dipilih atas dasar mereka dapat memberi penilaian saksama lagi merangkum. Ini lantaran qasad awal Hadiah Sastera Selangor adalah agar karya yang dipertandingkan hendaklah inklusif; kreatif-inovatif; menepati diversiti; canggih gubahannya; penuh estetika, lantas menyumbang kepada kekayaan batiniah seni dan rohani masyarakat pembaca dan penghayat seni di Selangor yang merupakan pusat huni pelbagai bangsa, kepercayaan dan cara fikir.
Untuk mencapai objektif ini, penganjur memilih dengan penuh waspada juri yang dapat memberikan penilaian sihat dari pelbagai kaca mata dan panca kerangka. Pertimbangannya adalah juri mesti mewakili pelbagai lapis usia, gender, profesyen, kepercayaan, dan latar belakang gaya seni. Oleh itu juri-juri Hadiah Sastera Selangor adalah unik dan tersendiri, bak kata peribahasa Melayu ‘hendak ucok dilawan damai, hendak perang giling peluru’.
Juri yang dipilih adalah mereka dari kalangan penerbit; aktivis dan birokrat seni budaya; kurator festival; ejen butik sastera; penerjemah; penyunting; jurnalis seni; kurator toko buku rangkaian antarabangsa, pembimbing bengkel pembinaan karya, dan ahli akademik. Mereka membawa sama pengalaman dan pengetahuan ketika perbahasan berjalan. Semua juri dikenalpasti adalah pembaca, pengekor dan penggemar seni sastera yang tegar, dan tidak pula meletakkan syarat apabila menawarkan khidmat mereka.
Latar belakang pendidikan juri untuk Hadiah Sastera Selangor juga berbeza dari kebanyakan hadiah dan anugerah sastera dan seni yang lain. Latihan awal mereka meliputi bidang kesusasteraan, agama Islam, pendidikan, teater, catan, kewartawanan, bahasa dan linguistik, serta kejuruteraan. Ini kerana penganjur mengambil kira karyawan dewasa ini terdiri dari pelbagai ragam manusia. Bahkan semakin banyak karya sastera Melayu hari ini dihasilkan oleh mereka yang bukan dari bidang sastera awalnya. Kepelbagaian ini demi memastikan karya yang dinilai kelak tidak jumud, sebaliknya segar; tidak basi, bahkan diharap boleh diingati sepanjang zaman.
Semua juri juga telah dikenalpasti awal, dan diingatkan untuk tidak membaca karya yang tersiar di wadahnya, dan hanya membaca dari senarai yang diserahkan sahaja, di mana identiti karyawan telah dipadam.
Juri hanya mengetahui siapakah pengarang karya yang disaring atau dimenangkan setelah keputusan dibuat. Panel juri yang menilai karya tahun ini adalah:
Untuk kategori cerpen, juri adalah:
Dr Haji Mohd Faizal Musa/Faisal Tehrani (Ketua)
Puan Sayiidah Mu'izzah Kamarul Shukri (Panel)
Encik Fasyali Fadzly Saipul Bahri (Panel)
Untuk kategori puisi, juri adalah:
Haji Al-Mustaqeem Mahmod Radhi (Ketua)
Dr Alina Abdullah (Panel)
Al-Abror Mohd Yusuf (Panel)
Bagi kategori esei , juri adalah:
Encik Abdul Nazir Harith Fadzilah (Ketua)
Encik Muhamad Azan Safar (Panel)
Encik Zul Fikri Zamir Mohamad Munir (Panel)
Kaedah Saringan dan Penilaian Karya
Dalam saringan awal, semua juri yang terpilih telah dipastikan untuk tidak membaca lebih awal karya-karya yang pernah diterbitkan di semua medium. Ini untuk memastikan panel juri tidak ada sebarang tanggapan.
Ketua Juri Hadiah Sastera Selangor 2022, Dr Mohd Faizal Musa (Faisal Tehrani) telah bertemu dengan wakil penganjur dari Media Selangor saudara Fazallah Pit untuk mesyuarat awal pada 21 Jun 2025 di Shah Alam, Selangor.
Kedua-duanya melakukan penyaringan karya dalam genre cerpen dan puisi pada 3 Julai 2025; dan 8 Julai 2025 di Bandar Baru Bangi, Selangor. Karya dalam genre esei tidak disaring memandangkan jumlahnya tidak terlalu besar. Penganjur mengorbankan karya yang diterbitkan di Selangor Kini di peringkat saringan untuk memastikan hanya 20 buah karya sahaja di bawa ke peringkat seterusnya.
Karya yang dibekalkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka dan Tukang Puisi tidak disaring dan semuanya dibawa terus ke penilaian akhir tanpa prejudis. Ini untuk memastikan tiada rungutan berbangkit di pihak rakan kerjasama.
Secara keseluruhannya, sebanyak 36 buah cerpen dari Selangor Kini dinilai dan hanya 14 buah diterima ke pusingan seterusnya di peringkat pertama ini. Manakala sejumlah 46 buah puisi terbitan Selangor Kini juga dibaca dan 15 buah dimajukan. Sebanyak 15 buah esei dibawa ke penilaian akhir. Semua juri kemudian dibekalkan dengan senarai yang telah disaring pada 9 Julai 2025.
Panel juri diberi masa hampir sebulan untuk membaca, dan membawa penilaian awal masing-masing untuk dinilai pada 6 Ogos 2025 selama seharian di Shah Alam, Selangor. Pada hari penjurian akhir ini juga, untuk keadilan ada karya yang tertolak di peringkat saringan turut dibaca dan dinilai semula. Dalam erti kata lain, terdapat karya yang tercicir dari Selangor Kini di peringkat saringan awal dibaca kembali atas permintaan ketua atau panel kategori tersebut.
Ketika penilaian dilakukan juri juga diminta tidak memeriksa karya tersebut di dalam talian. Dalam erti kata lain para juri tidak mengetahui siapakah empunya karya; dan menilai sepenuhnya bersandarkan mutu karya yang telah ditetapkan.
Para juri diberikan tiga kondisi oleh penganjur:
Hanya seorang pemenang untuk satu kategori dalam satu-satu tahun.
Pemenang bagaimanapun boleh berulang dalam satu-satu tahun jika sumber penerbitan berbeza.
Pemenang boleh berulang di dalam kategori berbeza dalam satu-satu tahun yang sama.
Panel juri ditugaskan mencari seorang pemenang Hadiah Utama untuk setiap kategori untuk satu-satu tahun, dan tiga lagi penerima Hadiah Penghargaan untuk setiap kategori untuk satu-satu tahun. Mereka juga diminta memilih dua lagi karya sebagai simpanan sekiranya terdapat pemenang berulang dalam satu kategori.
Di peringkat ini hanya penganjur sahaja mengetahui sekiranya ada kemenangan bertindih. Penganjur akan meminta judul tersebut digantikan. Mana-mana pemenang yang berganda dalam kategori sama itu diputuskan setelah perdebatan untuk karya simpanan dilakukan.
Selepas pemilihan dalam kategori dilakukan, semua panel juri berhimpun kembali untuk membahaskan karya pemenang ini. Ketua Juri memastikan tidak ada pertikaian, dan sebarang ekor rasa tidak puas hati telah didamaikan. Di akhir sekali setiap juri diminta menyatakan pandangan akhir mereka. Ini bagi memastikan penjurian kategori dilakukan secara sepakat, dan bukan hanya berdasarkan majoriti 2-1.
Karya-karya yang dimenangkan telah dipilih dan diputuskan, untuk cerpen; berdasarkan:
Kekuatan tema, yakni yang relevan dengan isu semasa, dan mengungkapkan persoalan, keresahan, dan konflik dalam masyarakat. Jika karya tersebut menggunakan acuan garda depan, sebarang simbolisme dan makna tersembunyi - jika ada - cuba diselongkar menerusi petunjuk sasterawi.
Pemilihan genre karya hendaklah sesuai dengan tema yang dibawa. Pengarang sepatutnya menguasai ciri genre yang digunakan. Ini bermaksud karya yang dinilai itu hendaklah memiliki alat penceritaan yang sesuai, mantap dan munasabah.
Karya hendaklah memaparkan kausaliti teguh, waras dan tidak mengkesampingkan ketekalan imaginasi atau konsistensi jika dipersembahkan dalam bentuk non-realisme. Dalam banyak keadaan juga juri mencari ‘perubahan’ iaitu drama di dalam karya.
Juri mencari karya yang masak, matang dan tidak tergesa-gesa. Di mana ia telah melalui proses pengeraman, penulisan, dan penyuntingan yang rapi.
Sesebuah cerpen hendaklah memiliki naratif, dan bukan hanya ulasan-ulasan wacana, gagasan atau teori tertentu yang disolek serba sedikit dengan cerita. Terdapat karya dengan retorika yang tidak dikembang dan digarap secara leteran. Juri menemukan beberapa cerpen seumpama ini ketika penjurian. Karya begini diketepikan.
Cerita hendaklah memiliki latar menyeluruh, khususnya jika genre karya adalah sejarah. Untuk membina sesebuah cerita yang meyakinkan, riset latar perlu dititik-beratkan, dan diketengahkan dalam karya secukupnya.
Penggunaan bahasa tidak semestinya berbunga, atau indah semata, tetapi hendaklah pula sesuai dan seimbang dengan genre yang dipilih.
Akhir sekali, juri juga mencari karya yang boleh menjanjikan elemen malar segar, di mana ia mempunyai unsur kejutan, kelainan dan sebab khas untuk diingati.
Untuk kategori esei;
Panel juri berpandangan sesebuah esei bukanlah semesti menghamburkan fakta atau penyataan yang tidak dikembangkan.
Panel juri lebih tertarik kepada elemen seperti pengarkiban, dan terdapatnya sentuhan, sikap dan pandangan peribadi yang tuntas.
Juri kategori esei juga mencari perenungan peribadi pengarang di dalam esei. Jika perenungan dan pemerhatian itu segar ia mestilah diungkap secara jujur, dan berusaha meyakinkan pembaca.
Untuk kategori puisi;
Panel juri menekankan kemampuan puitis seseorang penyair dalam menyuguhkan ungkapan yang segar, atau dalam bahasa mudahnya, lain. Kelainan ini akan membawa kepada rasa terpagut, tersentak, dan kesan seni yang khas lagi tersendiri. Tambahan lain, puisi dengan kerangka keakuan yang ketara kurang dipertimbangkan.
Berikut adalah laporan penjurian setiap kategori.
KATEGORI CERPEN
Mohd Faizal Musa/Faisal Tehrani (Ketua)
Sayiidah Mu'izzah Kamarul Shukri (Panel)
Fasyali Fadzly (Panel)
Tahun ini setelah saringan dilakukan, panel juri membaca sejumlah 20 buah cerpen bagi diberikan sebuah Hadiah Utama, dan tiga lagi Hadiah Penghargaan.
Masih banyak karya dalam tahun 2022 yang dari segi temanya, memerihalkan keadaan emosi dan pengalaman ketika Perintah Pergerakan Perjalanan (PKP) ekoran pandemik Covid-19. Selain itu karya juga banyak menyentuh perihal krisis politik nasional. Peristiwa lain seperti pengalaman banjir besar, isu-isu alam sekitar dan kemiskinan turut mendapat sorotan. Panel membaca dengan teliti sebarang hantaran sasterawi para pengarang.
Para juri kategori cerpen bersatu hati untuk mencari cerpen yang berjaya membawa isu kemasyarakatan yang dibungkus dengan makna tertentu, diungkapkan secara sasterawi, dan rapi secara teknikal menurut genre yang dipilih cerpenis tersebut. Panel juga mencari ‘perubahan’ atau kesan drama di dalam karya. Dalam hal ini perubahan pada watak atau karektor karya dapat memberi kesan batiniah buat pembaca.
Panel juri berpendapat terdapat karya yang memiliki elemen menerjang, di mana ia diyakini dapat memberi sesuatu kepada masyarakat, atau mencerap masyarakat itu sendiri. Dalam erti kata lain karya telah membahaskan apa yang berlaku dalam masyarakat, mengkritik sembari menyarankan petunjuk jalan keluar.
Panel juri mendapati meskipun rata-rata karya ditunjangi tema yang kuat, tetapi sejumlah besar karya terlalu eksperimental, dan terbatas dalam penghantaran makna. Banyak juga karya yang pembinaan cerpen itu tidak mengikut rukun cerpen, dan dalam banyak keadaan tidak seimbang pencirian genre yang dikincahnya. Terdapat karya garda depan yang terlalu asyik dengan permainan alat sasteranya sehingga terkesan berkubang dalam lopak tersebut, dan tidak mampu keluar.
Pihak juri percaya terdapat dua kemungkinan hal ini terjadi. Pertama, mutu karya yang dikirim ke Media Selangor untuk siaran boleh dikompromi. Ini kerana platform cerpen di Media Selangor mungkin diambil ringan memandangkan ia menyediakan ruang untuk cerpen mikro yang selalu dianggap suntuk, singkat dan ringan. Kedua, terdapat kebarangkalian ini berlaku kerana kelemahan dari segi pengelolaan karya yang diterbitkan. Ini kerana medium Selangor Kini lebih terbuka dalam menerima karya pengarang baharu dan belum begitu dikenali. Moga kedua-dua hal ini akan dapat diatasi pada masa depan. Ini kerana Media Selangor kini telah menerima cerpen yang lebih panjang untuk disiarkan di dalam talian. Manakala kualiti pengelolaan boleh ditingkatkan. Promosi berterusan mengenai Hadiah Sastera Selangor juga akan membantu pengarang mapan mengenalinya.
Terdapat beberapa cerpen yang sederhana lagi memikat, seperti humor dengan judul Hari-Hari Awal Persaraan. Setelah berbincang panjang lebar, kami menyenarai pendek hanya 6 buah cerpen untuk dibahaskan dari semua sudut. Karya-karya tersebut adalah:
Ranjau Sepanjang Jalan
Ibu-Morfosis
Surat Terbuka Dr Strange Kepada Spiderman
Matinya Sepasang Anjing Jadian
Bonda Alam
Lokomotif ke Utara: Sebuah Perjalanan Waktu
Sepanjang perbincangan setiap panel juri menghujahkan pelbagai aspek cerpen-cerpen di atas. Akhirnya juri sepakat memilih cerpen berikut untuk diberikan hadiah;
Hadiah Utama: Matinya Sepasang Anjing Jadian
Panel mendapati terdapat tema yang meyakinkan mengenai era ‘post-truth’ dan manipulasi berita palsu, serta kesannya yang amat meruntuhkan masyarakat. Dalam dunia komunikasi yang tidak lagi didominasi oleh media arus perdana, perancangan untuk mengawal minda masyarakat dilakukan secara penuh muslihat.
Panel mendapati pengarang menguasai subjek yang diulasnya, dan berjaya menaratifkan bagaimana tipu helah di belakang tabir ini dirancang untuk sasaran, dan, oleh siapa. Watak-watak yang ditampilkan seperti pemburu anjing yang menekankan ‘false awareness’; menakutkan orang ramai sehingga semuanya serasa benar, sangat meyakinkan. Membaca karya ini juga membolehkan kita memahami bagaimana penjaja berita, atau pengamal media memilih samada mahu mengangkat citra politikus, atau rakyat.
Apa yang menarik, perubahan pada karya ini tidaklah pada plot tetapi pada makna, di mana karya ini perlu dibaca beberapa kali untuk memahami perlambangannya. Ia adalah sebuah karya kontemporari yang menurut juri dapat menjadi sebuah cerpen-didik untuk membantu masyarakat memahami gejala ‘post-truth’ ini.
Garapan karya juga serasa matang, tidak tergesa-gesa, dan melalui proses penulisan yang teliti penukangannya.
Selain karya ini yang diberikan Hadiah Utama di atas, terdapat tiga lagi karya yang diberikan Hadiah Penghargaan dan susunan cerpen-cerpen itu di sini bukanlah bermaksud ia mengikut turutan terbaik.
Hadiah Penghargaan
Lokomotif Ke Utara: Sebuah Perjalanan Waktu.
Cerpen ini meskipun serasa mudah dikunyah, tetapi ia menampilkan kepintaran pengarang mengungkapkan sebuah karya anti plot. Kandungannya secukup rasa, sejajar dengan letak duduknya selaku cerpen mikro. Sekali imbas ia adalah sebuah karya yang berleter tentang kehidupan tetapi mengungkapkan diversiti, pertembungan kelas, dan upaya menjambatani jurang kaum.
Cerpen ini juga mengenai rindu yang amat berat terhadap nenek, tetapi rasa ini tidak diketengahkan secara berlebihan sehingga berjaya menyerlahkan satu puitika, pengungkapan yang berselindung. Ada kesan sentimental yang kuat tetapi ini tentulah tidak bersalahan.
Sebagai cerpen ‘slice of life’ yang padat, ia masih mampu mengimbangi latar watak Nani dan Abdullah Faisal. Garapan bahasanya segar serasa puitis dan pengakhirannya menimbulkan emosi meruntun.
Bonda Alam
Cerpen ini mengetengahkan isu yang penting iaitu kesedaran dan pemuliharaan alam sekitar. Mesej hipokrasi masyarakat berkumandang kuat. Meskipun tema ini boleh dihujahkan klise di mana ia memerihalkan bagaimana sumber alam dieksploitasi; tetapi juri mendapati bentuknya, sebagai sebuah karya eksperimental telah memadukan teknik sinematik. Membacanya kita dapat membayangkan imej-imejan yang dilampir.
Bentuk ini serasi memandangkan kandungan cerpen ini adalah tentang filem. Ia juga cocok sebagai sebuah karya garda depan. Meskipun terdapat elemen didaktik tetapi ia tidaklah bersalahan,
Ibu-Morfosis
Cerpen Ibu-Morfosis jelasnya adalah sebuah homaj untuk The Metamorphosis oleh pengarang terkenal Franz Kafka. Ia menggambarkan perubahan yang berlaku terhadap seorang ibu yang mengalami kemurungan menjadi pelbagai bentuk seperti batu, babi, anjing, kucing liar, burung layang-layang dan sebatang pohon.
Tentu sahaja naratif cerpen ini aneh. Akan tetapi sandaran karya ini adalah watak yang kuat dengan perubahan yang ekstrem itu tadi. Watak Ibu memberi kesan yang memeranjatkan kerana ia berlegar dalam ruang yang tidak realistik. Ceritanya terkawal, demikian juga dengan plotnya.
Usulan dan petunjuk yang ada dalam karya ini membawa kita kepada beberapa renjisan mitos anak-anak mengenai Batu Belah Batu Bertangkup, dan Si Tanggang. Akan tetapi juri berpendapat penerangan watak Profesor mengenai ‘shapeshifter’ sedikit melemahkan kesan karya ini.
Panel juri kategori cerpen mengucapkan tahniah kepada semua pemenang di atas.
KATEGORI PUISI
Al-Mustaqeem Mahmod Radhi (Ketua)
Alina Abdullah (Panel)
Al-Abror Mohd Yusuf (Panel)
Untuk menilai sajak pada tahun 2025, mungkin setelah hampir dua kurun pantun Melayu pertama tercatat dan entah setelah sekian berapa lama pula sejak syair gurindam terawal diriwayatkan, muncul persoalan: apakah lagi yang dicari-cari oleh penilai bagi mengangkat pemenang sebuah Hadiah Sastera?
Ciri-ciri sajak yang baik sudah dimaklumi. Pelbagai teori telah dirumuskan waima di Barat mahupun Timur. Akhirnya, barangkali dalam setiap sempena, sesebuah kumpulan penilai memilih ciri mana yang hendak lebih diperhatikan. Semangat zaman juga mungkin menjadi penentu. Maka tidak lama selepas Aku-nya Chairil Anwar ada saja kumpulan penilai mencari-cari “aku” yang lebih membara dari Chairil, dan sebagainya.
Dalam menilai sajak-sajak bagi Hadiah Sastera Selangor tahun 2022, panel penilai memberikan penekanan kepada keseimbangan mutu antara sekian kriteria yang umum, yakni isi dan tema (idea yang asli), daya cipta (penggunaan perlambangan dsbnya), struktur dan bentuk, bahasa dan pemilihan kata, ritma dan bunyi.
Termasuk dalam keseimbangan ini, misalnya, adalah sebaik mana penyajak menyusun kata tanpa mengurangkan pada jiwa pembaca kesan perasaan yang ingin diluahkannya.
Secara keseluruhan sebanyak 15 buah sajak terbitan Selangor Kini disenarai pendek dari 46 buah karya. Ia diserahkan kepada panel juri untuk dinilai, bersama-sama yang lain lalu menjadikan semuanya 30 buah karya.
Akhirnya lima karya disenarai pendek sebelum seorang pemenang Hadiah Utama dan tiga Hadiah Penghargaan diputuskan.
Keseluruhan, terdapat peningkatan mutu dan kelainan di sana sini pada karya-karya yang diterima, tetapi pada masa sama, terdapat penulis yang cuba bereksperimentasi namun kelihatan kurang cermat, atau kelihatan seperti memaksa-maksa, dan berlebihan.
Secara keseluruhan juga, panel penilai mendapati sajak-sajak yang dinilai bagi tahun ini memperlihatkan kesungguhan para pengkarya mengasah bahasa dan seni mereka, namun kami percaya kesungguhan itu masih boleh ditingkatkan.
Untuk karya-karya 2022, keputusannya adalah seperti berikut:
Hadiah Utama: Klise Encik Ben
Sajak Klise Encik Ben disepakati oleh panel juri untuk diangkat sebagai pemenang utama kerana selain ketertiban bahasa dan penceritaan yang lancar, ia juga jelas dan kreatif. Puisi ini turut memiliki unsur satira yang menarik dan mencuit rasa.
Penyajak memilih tema yang agak lama, iaitu nasib pekerja bawahan yang berasa dimangsakan orang atasan namun dengan pengungkapan yang agak segar tanpaluapan perasaan yang keterlaluan, dengan gubahan ayat-ayat yang tidak melewah.
Panel juga sepakat pemilihan perlambangannya agak menarik dan unik, khususnya pada bahagian awal sajak:
Pagi encik Ben di kerusi pemasaran / adalah biskut mayatyang meronta dalam / gelas kopi 3 dalam 1.
Hadiah Penghargaan: Turis-Turis Jelma
Tiga sajak lain yang dipilih sebagai pemenang sagu hati tidak terlalu jauh mutunya dari sajak pemenang hadiah. Hanya beberapa kelemahan kecil meletakkan mereka sedikit di bawah Klise Encik Ben.
Perlu diakui bahawa pada ketiga-tiga sajak yang terpilih untuk hadiah sagu hati itu membawa kelebihan masing-masing. Turis-turis Jelmaan, misalnya, juga memilih tema yang biasa, iaitu ilham yang mengancam malam penyajak tetapi dengan memanfaatkan keadaan semasa (zaman wabak Covid) sebagai latar dalam penceritaan yang tersusun, lancar dan sekata, disulam dengan pernyataan yang menarik seperti “tapi kata ilham: aku adalah abu / dan abu tak boleh dibakar lagi.”
Hari Terakhir
Puisi Hari Terakhir pula memaparkan kelancaran idea dan nada bahasa yang agak merdu, antaranya “seorang nelayan melumuri muka dengan bahasa
tengkujuh yang sering menyegarkan.” Sajak ini mengemukakan gambaran yang menarik seperti “apungan minyak enjin sampan serta kapal besar berdakapan lembut / sedia menyurut ke teluk pantai dan bawah jeti / serupa memunggah bunga perpisahan ke daratan senja” dan memilukan, sekarang kebimbangan hari-harinya yang mendatang / ialah cuma timbangan hasil tangkapan / untuk dijelaskan kepada isteri / yang sedang nyanyuk di rumah.” Namun sekali lagi tema yang dibawa agak biasa, selain gagal memberi wajah baru atau segar kepada isu nelayan dan kemiskinan.
Menjadi Matahari
Sajak berjudul Menjadi Matahari adalah sebuah sajak yang amat ringkas. Ia berupa sebuah kritikan sosial yang amat kena dengan trend semasa seperti “healing” dengan menikmati alam semulajadi. Patah-patah kata pembukaannya, Ada orang memanjat bukit / mahu melihat aku terbit / Ada orang menghurung pantai / mahumelihat aku terbenam” mengingatkan kita misalnya kepada sajak “Kesabaran” Chairil Anwar, “Aku tak bisa tidur / Orang ngomong, anjing menggonggong.” Pemilihan kata “menghurung” di situ agak menarik kerana selain tidak lumrah, dengan penjimatan kata-kata ia memberi gambaran yang jelas sekaligus melontar kritikan terhadap cara orang ‘menikmati’ alam semulajadi hari ini.
Panel juri mengucapkan tahniah kepada semua yang terpilih.
KATEGORI ESEI
Abdul Nazir Bin Harith Fadzilah
Muhammad Azan Safar
Zul Fikri Zamir Mohamad Munir
Penjurian bagi kategori esei kali ini telah dilakukan secara serentak bagi karya yang diterbitkan antara tahun 2022 sehingga 2024. Jumlah keseluruhan esei yang dinilai adalah sebanyak 59 buah; 21 esei untuk tahun 2022, 21 esei untuk tahun 2023 dan 17 esei untuk tahun 2024.
Bagi kategori esei, juri memilih satu pemenang hadiah utama dan tiga hadiah penghargaan mengikut tahun masing-masing. Disebabkan proses penjurian ini melibatkan tiga tahun sekaligus, kriteria penilaian yang digunakan juga adalah konsisten, meskipun penekanan tertentu berbeza mengikut ciri dan kecenderungan karya bagi tahun-tahun yang berkenaan.
Secara keseluruhan, mutu esei yang dinilai menunjukkan ragam yang pelbagai. Walaupun terdapat karya yang menampilkan keaslian perspektif dan keunggulan gaya, namun tidak kurang esei memperlihatkan kelemahan yang tertentu. Antara kelemahan yang dikenal pasti dinyatakan di sini sebagai rujukan.
Banyak esei masih mengekalkan struktur yang konvensional tanpa usaha untuk mengolah dalam bentuk yang lebih organik dan reflektif. Walaupun bentuk ini tidak menjadi kesalahan sepenuhnya, namun bentuk linear yang sebegini hanya menghasilkan bacaan yang kaku serta tidak menghasilkan gema intelektual yang tinggi.
Disamping itu, ada juga kecenderungan dalam penulisan esei untuk mengumpulkan fakta dan memuntahkannya tanpa disertakan analisis kritis dan penghujahan yang mendalam. Selain terdapat juga esei yang gagal menampilkan subjek yang jelas, berlegar dalam naratif yang lewah sehingga menenggelamkan tesis utama.
Pihak juri menilai esei berdasarkan tiga aspek utama.
Pertama adalah tema esei; keaslian tema menjadi ukuran namun tidaklah menjadi satu-satunya faktor pemberat, sudut pandang yang segar dan melawan arus juga boleh menjadi pembeza.
Kedua struktur esei dan penyusunan hujah; ketelitian dalam mengolah hujah dan kejelasan logik turut menjadi asas.
Ketiga adalah penggunaan bahasa; bahasa yang digunakan dengan lancar dalam mencapai kejernihan esei, menguak pintu renungan pembaca, memberi nilai tambah kepada penilaian.
Selain itu pihak juri juga sepakat untuk menambahkan dimensi keempat iaitu perenungan peribadi yang dapat memberikan kesegaran kepada penyampaian esei terutama di era dunia kecerdasan yang fakta dan hujah logika mudah untuk disusun-atur, maka kehadiran suara peribadi ini memberikan keunikan dan keaslian dalam esei.
Adapun sebahagian masih cuba untuk mendapatkan kesatuan makna dan bentuk ----kerana kedua elemen inilah akhirnya menjadikan sebuah karya itu karya sastera- yang jitu, namun usaha untuk mencuba caragaya baru dan segar dalam meneroka bentuk esei wajar dipuji.
Pihak juri juga berpendapat perlunya lebih banyak penulisan esei yang memecah keluar daripada hanya sekadar menulis berkenaan karya seni seperti sastera dan filem semata-mata. Tema-tema luar sastera juga harus diperbanyakkan terkait isu politik, sosial dan sains yang mana mampu menarik minat pembaca yang lebih luas disamping memperdekatkan mereka dengan bentuk yang lebih sastera.
Pihak juri berpendapat, pihak editorial harus lebih teliti dan tegas dalam menerima esei untuk disiarkan dalam penerbitan masing-masing kerana dengan lambakan maklumat dan penyusunan maklumat menggunakan kecerdasan tiruan (AI) bentuk esei harus dapat memberikan suatu yang baru dan bermakna kepada pembaca.
Hadiah Utama: Menari Makna Umpan Kemaafan Lewat Karya Sastera
Kekuatan utama esei ini terletak pada perspektifnya yang asli dan mendalam. Penulis menyelami persoalan eksistensial dan falsafah dengan keberanian yang jitu, menolak pendekatan deskriptif yang konvensional. Perbincangan tentang kemaafan bergerak dari hal sesuatu yang peribadi, suci, kepada hal-hal yang kebalikan darinya dengan sangat jujur dan bernilai intelektual. Gabungjalin falsafah barat, naratif agama dan analisa karya sastera telah membina kerangka hujah yang kukuh, juga dapat menyatukan emosi dan pemikiran. Gaya bahasa yang mengalir membawa pembaca melalui lapisan makna yang kompleks dan penuh perenungan.
Hadiah Penghargaan
Ketiga-tiga esei yang memenangi hadiah penghargaan ini menampilkan kepelbagaian pendekatan dan kekuatan yang tersendiri. Metafiksyen Esok menjol melalui pandangan futuristik tentang arah baru penceritaan digital, yang mendobrak norma penerbitan tradisional dan menghubungkan sejarah metafiksyen seperti Don Quixote degan fenomena kontemporari. Semangat The Waste Land T.S. Eliot dalam ‘Perempuan’ Baha Zain pula memperlihatkan keberanian dalam membandingkan dua penyair dari dua latar budaya dan sejarah yang berbeza, menghubungkan kepincangan hidup pasca perang dunia pertama dengan rusuhan 13 Mei, sekaligus meletakkan karya tempatan setara dengan karya besar barat. Sementara itu, Kenapa Sajak Sukar Ditakrifkan mengemukakan perpektif yang segar dengan menyamakan pengalaman memahami sajak dengan ‘keimanan’, menolak definisi rasional yang tetap sekaligus menegaskan sifat senni yang terbuka dan subjektif.
Tahniah semua.
Rumusan
Kami panel juri ingin memberikan kredit kepada pihak Selangor Kini, kerajaan negeri Selangor, para rakan kerjasama; dan para pengelola, juga editor yang bertungkus-lumus membangunkan karya sastera, fiksi dan non fiksi, tanpa sebarang prejudis. Kami juga bersepakat menganjurkan pihak Selangor Kini untuk terus mengasuh pengarang-pengarang sedia ada dengan program berbentuk bengkel agar kualiti kerja para sasterawan masa hadapan ini semakin membaik.
Semoga usaha berterusan ini akan diberi terus diberi perhatian dan sokongan.