SHAH ALAM, 11 SEPT: Polis berjaya menumpaskan dua sindiket pengedaran dadah di Lembah Klang dengan penahanan lima lelaki tempatan dan merampas pelbagai jenis dadah seberat 164 kilogram (kg) bernilai RM16.7 juta dalam tiga serbuan berasingan pada Selasa dan semalam.
Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar berkata kesemua suspek berusia antara 18 hingga 47 tahun itu ditahan dalam serbuan di Banting, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) dan sekitar Kuala Lumpur pada petang dan awal pagi.
Beliau berkata untuk kes pertama, dua lelaki tempatan ditahan dalam sebuah kereta di persimpangan lampu isyarat sekitar Banting pada 3.45 petang Selasa ketika suspek sedang menghala ke Kuala Lumpur.
“Hasil pemeriksaan, polis menemukan 30 bungkusan berisi dadah jenis ekstasi seberat 61,760 gram dan tiga bungkusan berisi dadah jenis erimin 5 seberat 9,850 gram di tempat duduk belakang kereta tersebut.
“Suspek pertama berumur 47 bekerja dengan syarikat kontraktor binaan, seorang duda serta mempunyai 18 rekod jenayah lampau manakala suspek kedua merupakan penganggur berumur 42 tahun dan turut mempunyai 22 rekod lampau dengan kedua-dua rekod mereka adalah berkaitan kesalahan jenayah dan dadah,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Shazeli berkata nilai rampasan bagi kes itu adalah sebanyak RM13.6 juta selain pihaknya turut menyita seutas rantai leher dan jam tangan bernilai RM15,500.
Bagi kes kedua, Shazeli berkata polis menahan seorang remaja lelaki berumur 18 tahun yang dipercayai bertindak sebagai ‘transporter’ ketika menunggu penerbangan ke Sarawak pada 5.10 pagi, Selasa lepas.
Beliau berkata remaja terbabit dipercayai telah beberapa kali melakukan penyeludupan dadah sebelum ini dengan upah RM1,000 bagi setiap penghantaran.
“Suspek ditahan di terminal berkenaan ketika menunggu penerbangan ke Sarawak dan pemeriksaan lanjut menemukan lima bungkusan plastik berisi syabu seberat 4.5 kg dalam bagasi yang dibawa suspek.
“Tangkapan itu membawa kepada serbuan kedua di sebuah kondominium di sekitar Kuala Lumpur pada 1.10 tengah hari keesokannya dengan dua lelaki tempatan turut ditahan,” katanya.
Shazeli berkata pemeriksaan di premis yang dijadikan stor simpanan dadah menemukan 89 bungkusan plastik berisi syabu seberat 86,795 gram serta satu tong putih mengandungi cecair syabu seberat 5,850 gram.
Beliau berkata kedua-dua suspek yang tidak bekerja itu berperanan sebagai pembekal syabu kepada remaja yang ditahan di KLIA2 untuk dipasarkan ke Miri, Sarawak dan bekalan dadah dipercayai diperoleh dari negara jiran.
Katanya suspek pertama mempunyai satu rekod jenayah lampau manakala dua yang lain tidak mempunyai sebarang rekod selain saringan air kencing mendapati ketiga-tiga suspek negatif dadah.
Nilai keseluruhan rampasan dadah bagi kes itu dianggarkan RM3.7 juta, katanya.
Shazeli berkata kelima-lima suspek kini direman tujuh hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
-- BERNAMA
TAG: polis, dadah, sindiket, tahan, KLIA2, Shazeli Kahar