KUALA LUMPUR, 11 SEPT: Kerajaan Negeri memandang serius isu melibatkan anak muda yang terpinggir supaya pelan pembangunan yang dirancang berjalan lancar.
Justeru, Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari mahu ada anjakan besar untuk meneliti permasalahan dihadapi anak-anak muda pada masa kini.
"Jika dilihat karakter anak muda pada masa kini sangat berbeza dengan dahulu... perlu ada anjakan besar untuk teliti permasalahan anak muda daripada segi kerumitan dan tingkah laku.
"Kita beri ruang dan peluang pekerjaan untuk tingkat ekonomi tetapi ini bukan penyelesaian. Sebab itu saya setuju laksana program atau latihan seiring dengan cabaran baharu, bukan sekadar adakan kem motivasi sahaja," katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi perbincangan berhubung pendidikan dan pemberdayaan generasi muda sempena Libat Urus Belanjawan Selangor 2025 di Pusat Konvensyen Sime Darby, hari ini.

Antara agensi yang hadir ke sesi berkenaan ialah Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI, Universiti Selangor (Unisel), Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Negeri Selangor (STDC) dan Penggerak Belia Selangor (PeBS).
Amirudin pada ucaptama libat urus itu memaklumkan kekuatan sebenar Selangor bukan terletak pada hasil bumi, tetapi modal insan yang menjadi tunjang pembangunan serta daya saing ekonomi negeri.
Jelasnya, tidak seperti negeri lain yang kaya dengan sumber asli, Selangor bergantung kepada kedudukan strategik serta keupayaan membangunkan sumber daya manusia.