ad

Polis gesa bertenang, tiga ditahan insiden kekecohan Kampung Sungai Baru

11 Sep 2025, 8:38 AM
Polis gesa bertenang, tiga ditahan insiden kekecohan Kampung Sungai Baru

KUALA LUMPUR, 11 SEPT: Orang ramai diminta bertenang dan tidak bertindak terburu-buru susulan insiden kekecohan yang berlaku di Kampung Sungai Baru, di sini hari ini.

Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail menegaskan bahawa masyarakat perlu mendapatkan maklumat sahih daripada sumber berwibawa sebelum membuat sebarang tindakan atau menyebarkan maklumat yang tidak dipastikan kebenarannya.

“Keselamatan dan ketenteraman semua pihak adalah keutamaan. Jangan bertindak membuta tuli berdasarkan maklumat tidak sahih yang boleh menimbulkan kekecohan. Dengan kawalan diri dan sikap berhati-hati, kita dapat memastikan keadaan terkawal dan harmoni,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Penutup Simposium Sains Forensik Kebangsaan untuk Penguatkuasaan Undang-Undang (NAFSLE) ke-6 di sini hari ini.

Mohd Khalid turut mengesahkan polis telah menahan tiga lelaki dipercayai terbabit dalam kekecohan ketika operasi pengosongan 37 unit rumah teres Kampung Sungai Baru pagi tadi, yang turut mengakibatkan Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Sulizmie Affendy Sulaiman cedera di kepala.

Sulizmie Affendy cedera di kepala dipercayai terkena balingan batu oleh individu tidak dikenali ketika mengawal keadaan dalam operasi pemotongan bekalan elektrik beberapa rumah di Kampung Sungai Baru.

Operasi berkenaan dijalankan susulan arahan mahkamah berhubung proses perobohan struktur rumah di kawasan itu.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.