KUALA LUMPUR, 11 SEPT: Lima inisiatif yang akan dilaksanakan Kerajaan Selangor tahun depan termasuk memantapkan projek sedia ada dijangka memberi potensi hasil hampir RM1 bilion.
Setiusaha Kerajaan Negeri berkata ia meliputi pelaksanaan Dasar Pelepasan Sifar (ZDP) kendalian Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) membabitkan Indah Water Konsortium Sdn Bhd dan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd serta abstraksi air.
Jelas Dato’ Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin, potensi hasil yang dianggar bernilai lebih RM987 juta itu turut disumbang Pejabat Tanah dan Galian Selangor (PTGS) menerusi semakan semula fi pejabat serta sasaran akaun berakhir setiap tahun tidak melebihi RM500 juta.
“Ia turut meliputi pelaksanaan kadar caj laluan utiliti RM5 semeter bagi jalan negeri bawah pentadbiran dan pengurusan Jabatan Kerja Raya negeri menerusi Koridor Utiliti Selangor (KUSEL),” katanya pada program libat urus Belanjawan Selangor 2026 hari ini.

Beliau bagaimanapun berkata dua inisiatif lagi yang turut dirangka berjalan tahun depan terpaksa ditangguhkan dahulu bagi membolehkan kajian menyeluruh dilakukan.
“Ia melibatkan pengurusan air dan pindaan cukai tanah. Inisiatif ini besar dan perlu diurus sebaik mungkin. Untuk tanah, kita akan buat semakan pada masa akan datang,” katanya.
Terdahulu, ketika membentangkan Laporan Tinjauan Ekonomi Selangor 2026, pensyarah kanan Sekolah Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Putra Malaysia berkata kadar pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Selangor tahun depan dijangka kekal positif antara 5 hingga 5.8 peratus dengan nilai jangkaan RM479 bilion.
Dr Muhammad Daaniyall Abd Rahman berkata sektor pembinaan dijangka menyumbang kadar pertumbuhan tertinggi antara 5.8 hingga 6.8 peratus, diikuti sektor perkhidmatan antara 5.4 hingga 6.3 peratus.