SHAH ALAM, 11 SEPT: Sumbangan Asas Rahmah (SARA) sekali bayar sebanyak RM100 tidak memerlukan sebarang proses pendaftaran kerana bantuan itu diterima secara automatik kepada mereka yang layak, kata Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching.
Beliau berkata penjelasan itu dibuat berikutan terdapat hantaran dalam media sosial yang menyatakan bahawa pendaftaran perlu dilakukan untuk mendapat SARA.
"Kita (terima) maklumat daripada Kementerian Kewangan … ada hantaran media sosial cakap kalau nak dapat bantuan RM100 di bawah SARA perlu buat pendaftaran, sebenarnya tindakan itu tidak perlu," katanya kepada pemberita.
Beliau berkata demikian selepas perasmian karnival Kempen Internet Selamat (KIS) Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Peringkat Negeri Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di sini hari ini.
Teo berkata kementeriannya juga belum menerima laporan terperinci mengenai jumlah hantaran palsu yang diturunkan berkaitan pendaftaran SARA.
Di samping itu, beliau berkata mereka yang belum genap berusia 18 tahun pada 2025 masih boleh menikmati bantuan melalui MyKad itu yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Julai lepas.
"Mungkin sekarang mereka berumur 17 tahun 10 bulan dan akan menyambut hari kelahiran dua bulan lagi, maka mereka juga layak," katanya.
Mengulas berhubung proses pendaftaran kad SIM prabayar di Malaysia yang akan menggunakan MyDigital ID sepenuhnya, Teo berkata langkah itu antaranya bertujuan mengehadkan pemilikan nombor prabayar bagi mengelakkan penyalahgunaan untuk aktiviti tidak bermoral termasuk penipuan.
"Jadi, kami rasa kalau menggunakan MyDigital ID, prosedur itu akan lebih lancar (termasuk log in tunggal dalam telefon)," katanya.
Terdahulu, Teo hadir dan beramah mesra dengan peserta dan pengunjung karnival KIS anjuran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan sokongan serta kerjasama Kementerian Pendidikan (KPM) dan Persatuan Guru Besar Tamil Malaysia.
Sebanyak 107 Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Selangor hari ini telah mengambil bahagian dalam karnival KIS yang dilaksanakan sebagai pendekatan strategik oleh MCMC dalam menjangkau lebih banyak sekolah bagi memastikan tiada sekolah yang terpinggir dalam program KIS.
Untuk rekod, setakat 1 Sept lepas, sebanyak 1,928 sekolah telah mengikuti modul KIS di seluruh negara dengan 144 sekolah adalah dari Selangor dan 76 dari Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, daripada jumlah berkenaan, 11 sekolah melibatkan SJKT dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC).