ad

Kerajaan hormati hak berhimpun, kecam insiden serang ketua polis daerah - Anwar

11 Sep 2025, 7:19 AM
Kerajaan hormati hak berhimpun, kecam insiden serang ketua polis daerah - Anwar
Kerajaan hormati hak berhimpun, kecam insiden serang ketua polis daerah - Anwar

KUALA LUMPUR, 11 SEPT: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengecam insiden serangan terhadap Ketua Polis Daerah (OCPD) Dang Wangi ACP Sulizmie Affendy Sulaiman oleh pihak tidak bertanggungjawab, menyifatkannya sebagai perbuatan keji.

Beliau menegaskan kerajaan menghormati hak berhimpun secara aman dan menyatakan pendirian, sebagaimana yang dibuktikan melalui pelbagai himpunan sebelum ini.

Bagaimanapun, Anwar berkata prinsip kebebasan itu perlu disertai rasa tanggungjawab serta pematuhan terhadap hukum, adab dan undang-undang.

“Insiden menyerang sehingga mencederakan penjawat awam yakni Ketua Polis Daerah Dang Wangi oleh pihak berkepentingan dan tidak bertanggungjawab adalah perbuatan keji dan mesti dikecam.

“Saya telah menggesa pihak berkuasa untuk segera menjalankan siasatan dan lekas memberkas dalang dan penyerang yang bertanggungjawab mencederakan,” kata Anwar menerusi catatan di Facebook, hari ini.

Sulizmie Affendy dilaporkan cedera di kepala dipercayai terkena balingan batu oleh individu tidak dikenali ketika mengawal keadaan dalam operasi pemotongan bekalan elektrik beberapa rumah di Kampung Sungai Baru, di sini hari ini.

Operasi berkenaan dijalankan susulan arahan mahkamah berhubung proses perobohan struktur rumah di kawasan itu.

Difahamkan, anggota polis yang bertugas turut mengarahkan penduduk yang berkumpul supaya bersurai, namun sebahagian daripada mereka enggan beredar dan terus melakukan provokasi.

Menurut Perdana Menteri, himpunan aman tidak seharusnya disalah guna untuk kepentingan politik sempit yang boleh mencetuskan suasana tidak tenteram dalam kalangan penduduk.

Beliau turut menegaskan keganasan yang dipupuk melalui hasutan, kebencian dan maklumat palsu tidak boleh sama sekali dibiarkan berakar dalam masyarakat.

-- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.