KUALA LUMPUR, 11 SEPT: Selangor memiliki pasaran buruh yang sihat dengan kedudukan ketiga tertinggi selepas Putrajaya dan Kuala Lumpur, kata Pensyarah Kanan Sekolah Perniagaan dan Ekonomi di Universiti Putra Malaysia (UPM).
Dr Muhammad Daaniyall Abd Rahman berkata kadar pengangguran juga dijangka menurun dengan jangkaan 1.9 hingga 2.4 peratus, disokong oleh 117,000 hingga 133,000 peluang pekerjaan baharu tahun depan.
“Pasaran buruh Selangor antara yang paling sihat. Ini akan menurunkan kadar pengangguran. Bagi pecahan tenaga kerja lelaki dan wanita, Selangor merekodkan peratusan wanita bekerja tertinggi dalam negara dengan 73.7 peratus.
“Malah, ia juga melepasi tahap yang ditetapkan nasional iaitu 60 peratus, dimana ia masih lagi belum tercapai. Ini adalah disebabkan Selangor ada ekonomi penjagaan yang menyokong wanita bekerja,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Laporan Tinjauan Ekonomi Selangor 2026 di hadapan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dan barisan pentadbiran negeri di Pusat Konvesyen Sime Darby di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Dr Muhammad Daaniyall mendedahkan Selangor mengalami defisit perdagangan dengan hanya beberapa sektor sahaja merekodkan kadar eksport lebih tinggi berbanding import.
Jelasnya, hanya komoditi litar elektronik bersepadu berupaya menonjolkan aktiviti perdagangan baik dengan kadar eksport RM33.53 juta pada tahun lalu berbanding import RM11.25 juta.
“Selangor perlu lihat perkara ini supaya ia tidak menjadi ancaman ekonomi. Defisit imbangan perdagangan perlu diperhalusi untuk mengenalpasti sektor ekonomi yang menjadi pengimport bersih,” katanya.
Laporan Tinjauan Ekonomi Selangor 2026 julung kali dilaksanakan Kerajaan Negeri sempena program Libat Urus Belanjawan 2026, hari ini. Belanjawan Selangor 2026 dijangka dibentangkan pada November depan.
Ends