KUALA LUMPUR, 11 SEPT: Kekuatan sebenar Selangor bukan terletak pada hasil bumi, tetapi modal insan yang menjadi tunjang pembangunan serta daya saing ekonomi negeri, maklum Dato’ Menteri Besar.
Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan tidak seperti negeri lain yang kaya dengan sumber asli, Selangor bergantung kepada kedudukan strategik serta keupayaan membangunkan sumber daya manusia.
“Ini adalah kekuatan kita yang perlu dikembangkan. Pembangunan sumber daya manusia, pengupayaan dan juga meningkatkan kebolehan mereka itu sebagai salah satu daripada strategi utama.
“Sebab itu dengan adanya universiti, pusat latihan seperti STDC, kerjasama yang semakin erat dengan jabatan dan agensi-agensi lain, akan menjadikan itu sebagai kunci utama kepada kejayaan dan kemampuan kita untuk mengekalkan momentum sumbangan KDNK terbesar kepada nasional,” katanya.
Beliau ditemui selepas menyampaikan ucaptama sempena Libat Urus Belanjawan Selangor 2025 di Pusat Konvensyen Sime Darby, hari ini.
Dalam ucapannya, Amirudin menegaskan sumber daya manusia akan terus menjadi kunci kepada pembangunan negeri dengan penekanan kepada pendidikan, latihan teknikal serta penguasaan kemahiran baharu.
“Tahun depan beberapa aspek pendidikan akan kita tumpukan termasuk dalam bidang teknikal dan vokasional dan bidang lain yang ditetapkan kerana pembangunan sumber manusia akan menjadi pendinding kita dalam berdepan dengan cabaran-cabaran yang mendatang.
“Sektor pendidikan secara keseluruhan, sama ada peringkat rendah, menengah hinggalah pendidikan tinggi, akan terus menjadi perhatian Kerajaan Negeri kerana sumber daya manusia inilah yang akan mempertahankan kedudukan kita,” katanya.
Selain itu, Amirudin berkata Selangor akan terus meneroka potensi ekonomi baharu selari dengan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13), termasuk ekonomi jingga, ekonomi penjagaan dan ekonomi kitaran sebagai usaha meningkatkan nilai tambah serta merancakkan inovasi.
Menurutnya, langkah itu penting untuk memastikan Selangor kekal berdaya saing dalam menghadapi perubahan landskap ekonomi serantau dan global.
“Sektor baharu seperti ekonomi jingga, ekonomi penjagaan dan ekonomi kitaran akan menjadi pemacu pertumbuhan seterusnya bagi mengekalkan momentum Selangor sebagai penyumbang terbesar kepada KDNK negara,” katanya.