ad

Terlalu mahal? Mengapa rakyat Malaysia kini kurang anak

12 Sep 2025, 12:00 AM
Terlalu mahal? Mengapa rakyat Malaysia kini kurang anak

SHAH ALAM, 12 SEPT: Malaysia kini berdepan cabaran demografi serius apabila semakin ramai rakyat memilih untuk berkahwin lewat, kekal bujang atau tidak mahu mempunyai anak berikutan tekanan kos sara hidup dan perubahan nilai sosial.

Trend itu melibatkan semua kaum utama dengan kadar kesuburan dijangka terus menurun dalam kalangan bumiputera, Cina dan India dalam dekad mendatang ketika negara menuju ke arah masyarakat menua.

Laporan Unjuran Penduduk 2020–2060 Jabatan Perangkaan (DOSM) menunjukkan jumlah penduduk dijangka meningkat secara beransur-ansur dan memuncak pada 42.38 juta pada 2059. Namun kadar pertumbuhan dijangka merosot mendadak daripada 1.7 peratus pada 2020 kepada hanya 0.1 peratus menjelang 2060.

Komuniti Cina dijangka mengalami penurunan paling ketara daripada 23.2 peratus pada 2020 kepada 14.8 peratus pada 2060, manakala masyarakat India menyusut daripada 6.7 peratus kepada 4.7 peratus. Walaupun peratusan bumiputera meningkat daripada 69.4 peratus kepada 79.4 peratus, saiz isi rumah purata dijangka semakin kecil.

Bagi ramai pihak, berkahwin dan berkeluarga kini dianggap sebagai “pilihan mewah”. Namun isu ini bukan lagi sekadar persoalan peribadi, sebaliknya memberi implikasi meluas terhadap ekonomi, pendidikan, struktur tenaga kerja dan kelestarian jangka panjang negara.

Tekanan ekonomi dan perubahan nilai

Pengarah Jawatankuasa Akademik Pusat Kajian Cina Malaysia, Chang Yun Fah berkata tekanan ekonomi, perubahan struktur keluarga, nilai tradisi yang semakin pudar serta sokongan dasar yang tidak mencukupi mendorong ramai belia tidak berkahwin atau berkeluarga.

Pensyarah kanan Universiti Taylor’s itu berkata jika dahulu perkahwinan dan anak dianggap sebagai fasa semula jadi kehidupan, kini ia dilihat sebagai pilihan yang dipertimbangkan berdasarkan realiti kewangan dan praktikal.

Beliau menjelaskan kebanyakan belia hanya berhasrat mempunyai anak jika mendapat sokongan keluarga dalam penjagaan, waktu kerja fleksibel daripada majikan serta bantuan mencukupi kerajaan, syarat yang sering tidak dipenuhi.

“Bagi keluarga dengan dua pendapatan, persoalan terawal ialah: ‘Siapa akan jaga anak?" katanya kepada Media Selangor.

Kahwin lewat jejaskan kesuburan

Bagi masyarakat India, bekas presiden Hindu Sangam, Nagappan Arumugam berkata perkahwinan lewat menjadi antara punca utama penyusutan populasi.

Pengerusi Yayasan Falsafah dan Institusi Saiva itu menjelaskan ramai menangguhkan perkahwinan untuk mengumpul wang, mendapatkan pekerjaan bergaji tinggi, melanjutkan pelajaran serta membeli aset demi kedudukan sosial lebih baik.

Akibatnya, ramai anak muda kini hanya berkahwin selepas berusia 30 tahun, yang menurutnya sering membawa kepada kesukaran mendapat zuriat disebabkan faktor kesihatan apabila kadar kesuburan menurun.

Beliau berkata, pasangan sebaiknya merancang untuk berkahwin lebih awal bagi meningkatkan peluang memperoleh anak dan membina keluarga yang lebih besar.

Bukan Malaysia sahaja

Chang menambah, Malaysia tidak bersendirian menghadapi cabaran ini. Banyak negara mengalami krisis penduduk dengan kadar kelahiran lebih rendah daripada kematian termasuk Korea Selatan (0.8) dan Singapura (0.9).

“Untuk mengekalkan saiz penduduk yang stabil, kadar penggantian kesuburan- purata bilangan anak bagi seorang wanita- mestilah sekurang-kurangnya 2.1. Namun, semua kumpulan etnik di Malaysia jauh di bawah paras ini,” katanya.

Malah, dasar prokeluarga di Singapura seperti bonus bayi, cuti bersalin dan subsidi penjagaan anak juga menunjukkan kesan terhad. Malaysia dengan sistem sokongan masih belum matang berdepan cabaran lebih besar.

“Isu lebih besar bukan orang tidak mahu mempunyai anak, tetapi ramai yang tidak lagi mahu berkahwin,” katanya.

Polisi, cara fikir mesti berubah

Selain insentif dasar, Chang menekankan perubahan minda penting kerana ramai anak muda tidak lagi melihat anak sebagai jaminan masa depan, malah menolak idea tradisional bahawa anak perlu menjaga ibu bapa ketika tua.

“Kita perlu mentafsir semula maksud ‘membesarkan anak untuk hari tua’, bukan pergantungan kewanga tetapi sebagai teman emosi," jelasnya.

Beliau berkata golongan tua perlu merancang persaraan sendiri tanpa menjadi beban kepada anak, sekali gus mengurangkan tekanan psikologi generasi muda untuk berkeluarga.

Chang turut menegaskan Selangor boleh menjadi contoh kepada negeri lain kerana mengambil pendekatan proaktif dengan memperkenalkan pelbagai inisiatif kesuburan dan kebajikan warga emas seperti Iltizam Anak Selangor, baucar beli-belah warga emas, serta bantuan khairat kematian.

Namun, katanya, program itu kurang dipromosikan terutama di kawasan bandar dan komuniti Cina, menyebabkan ramai tidak mengetahui kewujudannya.

Jika kadar kesuburan terus menurun, beliau menyarankan kerajaan mempertimbang dasar imigresen berperingkat untuk mengimbangi struktur penduduk, tetapi mengingatkan langkah itu boleh menimbulkan isu rumit termasuk komposisi etnik, integrasi sosial, buruh asing dan penghijrahan bakat.

Sementara itu, Nagappan menggesa kerajaan melaksanakan inisiatif meningkatkan kualiti hidup belia India, khususnya untuk menggalakkan perkahwinan dan pembinaan keluarga.

“Selain itu, kempen kesedaran amat penting untuk mendidik golongan muda tentang kesan jangka panjang terhadap penyusutan populasi masyarakat India,” ujarnya.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.