SHAH ALAM, 11 SEPT: Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) bakal menganjurkan program Rewang Komuniti Strata Peringkat MPAJ pada Sabtu ini di Dewan MPAJ Lembah Jaya.
Pihak berkuasa tempatan itu menerusi Facebook memaklumkan, program sehari suntuk bermula jam 7.30 pagi hingga 11 malam tersebut menawarkan pelbagai aktiviti menarik untuk seisi keluarga.
Antara acara yang dijadualkan termasuk zumba, pertandingan plogging, mewarna, dam haji, congkak, sukan rakyat, ceramah agama bersama Imam Muda Asyraf serta persembahan kebudayaan.
Turut memeriahkan program ialah petting zoo, pameran dan perkhidmatan agensi kerajaan, rewang komuniti, photo booth, pemeriksaan gigi percuma serta kempen pengumpulan minyak masak dan kitar semula.
Pengunjung juga berpeluang memenangi hadiah menarik menerusi cabutan bertuah.
Menurut MPAJ program itu bertujuan mengeratkan silaturahim masyarakat setempat. Masuk adalah percuma untuk semua pengunjung.