ad

Media Selangor galas peranan utama platform digital SUKMA 2026

11 Sep 2025, 7:01 AM
Media Selangor galas peranan utama platform digital SUKMA 2026

SHAH ALAM, 11 SEPT: Media Selangor bakal memainkan peranan utama sebagai platform digital rasmi bagi memastikan liputan menyeluruh Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 dapat dinikmati penonton di seluruh negara.

Pengarang Kanan Media Selangor Khairulnizam Bakeri berkata, pengalaman daripada lawatan kerja ke Mesyuarat Penyiar dan Taklimat Media Sukan SEA 2025 di Bangkok baru-baru ini membuka ruang memahami piawaian penyiaran serantau yang akan diaplikasikan pada temasya berprestij itu.

“Media Selangor akan menumpukan kepada penghasilan kandungan digital, termasuk siaran langsung, sorotan acara, liputan berita dan bahan interaktif di semua saluran rasmi.

"Peranan ini sejajar dengan usaha memperkukuh penyiaran SUKMA Selangor agar mudah diakses rakyat,” katanya.

Beliau menambah, pendekatan digital bukan sahaja memberi tumpuan kepada penonton tempatan, malah berpotensi meluaskan capaian ke peringkat serantau, seiring piawaian penyiaran antarabangsa yang diterapkan.

“Penganjur Sukan SEA 2025 turut berkongsi kepakaran penyiaran digital dengan kerjasama syarikat telekomunikasi utama Thailand,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif TV Sarawak (TVS) Haji Kushairi Abang berkata, penglibatan TVS dalam konsortium penyiaran itu penting bukan sahaja untuk SUKMA, tetapi juga sebagai persediaan menghadapi Sukan SEA 2027 di Sarawak.

“TVS kini melebarkan peranan sebagai rakan penyiar rasmi SUKMA. Lawatan ini juga strategik kerana pengalaman tersebut akan dimanfaatkan apabila Sarawak menjadi tuan rumah bersama Sukan SEA 2027,” katanya.

Baru-baru ini, delegasi SUKMA Selangor bersama konsortium penyiaran rasmi iaitu Media Selangor, Astro, TV Sarawak (TVS), SGTV dan Arqiva UK menghadiri Mesyuarat Penyiar dan Taklimat Media Sukan SEA Thailand 2025.

Ketua Pegawai Operasi Sekretariat SUKMA Selangor 2026 Venu Ramadass berkata, bagi edisi kali ini, Pusat Penyiaran Nasional (NBC) akan diwujudkan di Dewan Raja Muda Musa, Shah Alam sebagai pusat tumpuan liputan rasmi manakala pusat media tambahan disediakan di UPM dan Klang bagi memastikan kelancaran liputan.

SUKMA Selangor 2026 dijadual berlangsung dari 15 hingga 24 Ogos, manakala Para SUKMA pada 5 hingga 14 September 2026.

Helang Putih dipilih sebagai maskot rasmi, manakala obor angka Romawi XXII menjadi logo edisi ke-22 ini.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.