SHAH ALAM, 11 SEPT: Selangor bakal menerapkan piawai penyiaran sukan antarabangsa dalam penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) 2026.
Ketua Pegawai Operasi Sekretariat SUKMA Selangor 2026 Venu Ramadass berkata, lawatan kerja empat hari delegasi ke Sukan SEA Thailand baru-baru ini menjadi langkah awal membawa standard penyiaran temasya besar seperti Sukan SEA, Sukan Asia dan Sukan Komanwel ke SUKMA.
“Mesyuarat diadakan pada 7 hingga 10 September di Bangkok dan mesyuarat serupa dijangka berlangsung awal tahun depan di Selangor sebagai persediaan SUKMA.
"Delegasi bersama konsortium penyiaran rasmi dibawa meninjau operasi penyiaran di Stadium Nasional Rajamangala serta Pusat Penyiaran Nasional Thailand (NBT)," katanya.
Beliau memaklumkan, Pusat Penyiaran Nasional (NBC) akan diwujudkan di Dewan Raja Muda Musa, Shah Alam sebagai pusat kawalan utama, manakala pusat media tambahan disediakan di UPM dan Klang bagi memastikan kelancaran liputan.
"Hasratnya adalah menjadikan penyiaran SUKMA lebih profesional dengan memastikan semua acara diliputi sama ada secara langsung, sorotan atau liputan berita.
"Sebagaimana Sukan SEA Bangkok yang melibatkan empat bandar utama, SUKMA Selangor turut menampilkan format serupa apabila penganjuran meliputi sembilan daerah,” ujarnya.
Baru-baru ini, delegasi SUKMA Selangor bersama konsortium penyiaran rasmi iaitu Media Selangor, Astro, TV Sarawak (TVS), SGTV dan Arqiva UK menghadiri Mesyuarat Penyiar dan Taklimat Media Sukan SEA Thailand 2025.
SUKMA Selangor 2026 dijadual berlangsung dari 15 hingga 24 Ogos, manakala Para SUKMA pada 5 hingga 14 September 2026.
Helang putih dipilih sebagai maskot rasmi, manakala obor angka Romawi XXII menjadi logo edisi ke-22 ini.
Temasya itu melibatkan sembilan daerah dan 12 pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh Selangor, kecuali acara berbasikal trek yang berlangsung di Velodrom Nasional, Nilai, Negeri Sembilan.
Sebanyak 37 sukan wajib dan tujuh sukan tambahan akan dipertandingkan.