SHAH ALAM, 11 SEPT: Keputusan kerajaan meluluskan cadangan pengasingan kuasa Peguam Negara dan Pendakwa Raya, disifatkan reformasi bersejarah yang akan memastikan kes dikendalikan berdasarkan bukti dan undang-undang, bukan pengaruh politik.
Presiden Majlis Peguam Malaysia Mohamad Ezri Abdul Wahab berkata ia juga membolehkan keputusan pendakwaan dibuat secara bebas daripada eksekutif, sekali gus menghapuskan kemungkinan berlakunya konflik kepentingan.
Menurut Mohamad Ezri, pada masa ini, Peguam Negara memegang peranan sebagai penasihat kerajaan dan mempunyai kuasa untuk mendakwa kerana turut memikul tugas Pendakwa Raya.
“Majlis Peguam Malaysia secara konsisten menegaskan risiko konflik kepentingan yang wujud akibat penggabungan kuasa pendakwaan dengan fungsi penasihat undang-undang kerajaan.
“Keputusan Kabinet ini mencerminkan komitmen serius terhadap reformasi institusi dan tadbir urus yang baik.
“Keputusan ini adalah satu reformasi bersejarah bagi Malaysia kerana ia menghapuskan potensi konflik kepentingan, memperkukuh kedaulatan undang-undang, dan memastikan keputusan pendakwaan dibuat secara bebas daripada eksekutif.
“Ia meyakinkan orang ramai bahawa kes berprofil tinggi akan dikendalikan berdasarkan bukti dan undang-undang, bukan pengaruh politik, sekali gus menyelaraskan Malaysia dengan amalan terbaik antarabangsa,” katanya lapor New Straits Times.
Jemaah Menteri hari ini meluluskan cadangan pengasingan kuasa Peguam Negara dan Pendakwa Raya, umum Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri.
Pelaksanaan pengasingan kuasa itu akan dibuat secara berperingkat melibatkan beberapa pindaan undang-undang termasuk Perlembagaan Persekutuan.
Menurut kenyataan itu, bagi tujuan itu, pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan khususnya Perkara 145, Perkara 183 dan Perkara 42 akan digubal secara berasingan bagi mewujudkan kedudukan Pendakwa Raya yang berkuasa sendiri.
Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan menyentuh kuasa pendakwaan pada Peguam Negara sementara Perkara 183 pula berkenaan kuasa izin untuk memulakan prosiding perundangan terhadap Raja. Perkara 42 menyentuh keanggotaan dalam Lembaga Pengampunan.
Menurut kenyataan itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Dato' Seri Azalina Othman Said telah membentangkan model pengasingan kepada Jemaah Menteri.