DHAKA (Bangladesh), 10 SEPT: Rajyalaxmi Chitrakar, isteri bekas Perdana Menteri Nepal Jhalanath Khanal, maut secara tragis apabila penunjuk perasaan yang diketuai aktivis Generasi Z memerangkapnya di dalam rumah mereka di kawasan Dallu, Kathmandu sebelum membakarnya, lapor United News of Bangladesh (UNB).
Mangsa dibawa ke Hospital Kirtipur Burn tetapi meninggal dunia akibat kecederaan, menurut sumber keluarga.
Kejadian itu berlaku ketika protes besar-besaran tercetus di Kathmandu berikutan larangan sementara kerajaan terhadap platform media sosial. Kekacauan yang dipacu kemarahan terhadap rasuah politik dan nepotisme itu memuncak apabila penunjuk perasaan menyasarkan kediaman pemimpin tertinggi, termasuk Perdana Menteri KP Sharma Oli, yang rumahnya turut dibakar.
Susulan pertempuran ganas, termasuk tembakan polis ke arah orang ramai yang mengorbankan 19 nyawa, Perdana Menteri Oli meletak jawatan. Rakaman video turut menunjukkan menteri kewangannya, Bishnu Prasad Paudel, diserang dengan ganas di jalanan.
Protes bermula selepas kerajaan menyekat Facebook, X dan YouTube dengan alasan platform berkenaan gagal mematuhi syarat pendaftaran serta peraturan.
Ramai penunjuk perasaan golongan muda khususnya berang dengan gaya hidup mewah anak-anak ahli politik, yang digelar sebagai “Nepo Kids”, sedangkan majoriti belia berdepan pengangguran dan kesusahan.