SHAH ALAM, 10 SEPT: Jemaah Menteri hari ini meluluskan cadangan pengasingan kuasa Peguam Negara dan Pendakwa Raya, umum Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri.
Pelaksanaan pengasingan kuasa itu akan dibuat secara berperingkat melibatkan beberapa pindaan undang-undang termasuk Perlembagaan Persekutuan.
"Bagi tujuan ini, pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan khususnya Perkara 145, Perkara 183 dan Perkara 42 akan digubal secara berasingan bagi mewujudkan kedudukan Pendakwa Raya yang berkuasa sendiri," kata kenyataan itu.
Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan menyentuh kuasa pendakwaan pada Peguam Negara sementara Perkara 183 pula berkenaan kuasa izin untuk memulakan prosiding perundangan terhadap Raja. Perkara 42 menyentuh keanggotaan dalam Lembaga Pengampunan.
Menurut kenyataan itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Dato' Seri Azalina Othman Said telah membentangkan model pengasingan kepada Jemaah Menteri.
“Setelah pertimbangan dibuat, Jemaah Menteri memutuskan untuk melaksanakan cadangan pengasingan penuh di mana kedua-dua jawatan ini diwujudkan secara berasingan dan setara Perlembagaan Persekutuan.
“Keputusan ini diambil selepas meneliti laporan akhir dan hala tuju yang disediakan oleh Pasukan Petugas Khas Kajian Komparatif yang dipengerusikan Menteri,” katanya.
Selain itu, kenyataan itu turut menyebut satu Rang Undang-Undang Pembaharuan Undang-Undang (Pendakwa Raya) akan digubal secara omnibus untuk meminda Kanun Tatacara Jenayah dan 18 akta lain yang berkaitan.
“Pada masa sama, satu akta baharu khusus mengenai saraan Peguam Negara dan Pendakwa Raya juga akan diwujudkan sebagaimana Akta Saraan Hakim 1971 [Akta 45],” katanya.
Menurut kenyataan itu, Jemaah Menteri turut bersetuju pelaksanaan ini dibuat secara berfasa, dengan beberapa penyesuaian pada struktur dan prosedur sedia ada.
“Justeru itu, Pasukan Petugas Khas Teknikal diterajui Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri bersama Jabatan Peguam Negara, dengan penglibatan Kementerian Kewangan, Jabatan Perkhidmatan Awam, Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan serta Suruhanjaya Perkhidmatan Awam akan meneruskan peranan selanjutnya.
“Ini untuk memperincikan semua aspek pelaksanaan termasuk struktur organisasi, perjawatan, logistik dan implikasi kewangan.
“Syor lengkap hasil perincian ini akan dikemukakan kepada Jemaah Menteri untuk pertimbangan, supaya pindaan yang diperlukan dapat dilaksanakan dan pelaksanaan pengasingan dapat dijalankan dengan sewajarnya, selaras dengan Perlembagaan serta undang-undang sedia ada,” katanya.
Menurutnya, langkah ini merupakan reformasi institusi perundangan yang holistik dan signifikan di bawah kerangka Kerajaan Madani, bagi memperkukuh tadbir urus, memperkasa kedaulatan undang-undang dan meningkatkan keyakinan rakyat terhadap sistem keadilan negara.
Ogos lalu, Azalina dilaporkan berkata pengasingan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya di fasa akhir kajian sebelum dibawa pertimbangan Jemaah Menteri dalam masa terdekat.
Sebelum ini, Jabatan Peguam Negara dilaporkan telah melaksanakan kajian berdasarkan sumber terbuka tentang amalan terbaik berkenaan pengasingan kuasa dan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya meliputi sembilan negara, iaitu United Kingdom, India, New Zealand, Australia, Kanada, Afrika Selatan, Ireland, Kenya dan Amerika Syarikat.
Pengasingan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya bagi memastikan keyakinan rakyat kepada institusi perundangan negara agar politik dan kuasa eksekutif tidak dilihat menguasai atau mengancam kestabilan sistem demokrasi yang bertunjangkan pemisahan kuasa antara badan eksekutif, legislatif dan kehakiman.